Salur segera subsidi, tubuh lembaga unggas

Salur segera subsidi, tubuh lembaga unggas tangani isu bekalan ayam dan telur

PENYALURAN segera subsidi disusuli penubuhan lembaga unggas dilihat antara cara berkesan untuk mengawal ekosistem ternakan ayam dan penghasilan telur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyalurkan segera subsidi kepada pengusaha ladang ayam dan telur bagi membantu mereka mendapatkan modal pusingan untuk mengembangkan operasi bagi memenuhi permintaan yang bertambah menjelang sambutan perayaan Aidilfitri tahun ini.

Namun, pemberian subsidi itu pula tidak harus dijadikan amalan yang berterusan kerana itu langkah yang tidak mampan dan hanya bersifat ‘wang hangus’ semata-mata.

Satu sumber penternak ayam telur berkata, antara mekanisme yang perlu diperhalusi untuk membantu industri ternakan unggas itu adalah melalui penubuhan lembaga unggas selain melantik syarikat milik kerajaan (GLC) untuk terlibat seratus-peratus dalam menghasilkan anak ayam day old chick (DOC) serta makanan dedak ayam.

Katanya, kali terakhir pihaknya menerima subsidi bagi penghasilan telur adalah pada September lepas, berjumlah secara purata RM500,000 sebulan.

Namun sumber berkata, subsidi yang diberikan itu hakikatnya tidak membantu industri secara menyeluruh, sebaliknya cuma bersifat sementara kerana ia tidak membantu menurunkan harga anak ayam DOC dan dedak yang terlalu tinggi.

“Sekarang harga anak ayam DOC dan dedak terlalu mahal. DOC misalnya, ada yang dijual pada kadar RM3.40 seekor manakala dedak ayam pula sampai mencecah RM140 bagi beg 50 kilogram.

“Mujur ladang kami memproses DOC dan dedak sendiri, jadi tidaklah terlalu tinggi kos yang ditanggung. Tapi, cuba bayangkan bagaimana dengan ladang-ladang kontrak kecil-kecilan?” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, satu sumber dari sebuah ladang ayam di selatan tanah air yang dihubungi berkata, langkah menyalurkan subsidi secara berterusan menunjukkan bahawa kerajaan sebenarnya tidak tahu punca kuasa permasalahan industri ternakan ayam dan telur.

Sedangkan katanya, ekosistem ini terdiri daripada tiga peringkat utama yang memerlukan campur tangan menyeluruh kerajaan termasuk huluan, pertengahan dan hiliran.

Katanya, di peringkat huluan ekosistem ternakan ayam daging dan telur, ada dua elemen utama yang menentukan harga bekalan protein itu di pasaran iaitu anak ayam DOC dan makanan ayam, sementara peringkat pertengahan pula terdiri daripada kumpulan penternak kontrak manakala hiliran pula adalah peringkat peruncit dan pengguna.

Dalam pada itu, satu sumber dari sebuah persatuan ternakan ayam sekitar Lembah Klang mendesak kerajaan supaya meletakkan harga siling anak ayam DOC dan makanan ayam.

Ini supaya harga kedua-dua komponen terpenting industri ternakan itu dapat dikawal dan tidak dinaikkan sesuka hati oleh kartel makanan ayam serta integrator.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 di Seremban semalam berkata, kementeriannya akan mengatasi masalah kekurangan pekerja yang dihadapi penternak yang dilihat antara faktor berlakunya kekurangan bekalan telur ayam ketika ini.

“Pengusaha akan diminta melipatgandakan pengeluaran kalau (mereka) tidak cukup pekerja, kami cuba memberi laluan mudah cara untuk mereka menambahkan pekerja.

“Sebab masalah utama mereka selain masalah harga makanan ialah masalah kekurangan pekerja.

“Sekarang kami cuba atasi melalui Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia untuk menambah pekerja di sektor pertanian dan termasuklah sektor yang lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN