KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Ulya Aqamah Husamudin menafikan beliau berpakat dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika memberi keterangan pada perbicaraan melibatkan Ahli Parlimen Muar itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Ulya Aqamah selaku saksi pembelaan ketiga juga tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa, Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bahawa beliau akan berbuat apa sahaja untuk membantu bekas Ketua Armada itu yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan wang RM1 juta milik Armada.
Isu tersebut dibangkitkan oleh pihak pendakwaan yang berpendirian bahawa keterangannya di mahkamah hari ini, bercanggah dengan pernyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika sesi soal siasat.
Dalam penyataan bertulisnya, Ulya Aqamah, 32, berkata, ketika disiasat SPRM beliau menyatakan Syed Saddiq tidak pernah mengarahkan Rafiq Hakim Razali ketika itu Penolong Bendahari Armada Bersatu mengeluarkan dana Armada sebanyak RM1 juta.
Sewaktu mengemukakan keterangan bela diri Rabu lalu, Syed Saddiq juga menyatakan beliau tidak pernah mengarahkan Rafiq Hakim membuat pengeluaran wang daripada akaun rasmi Armada Pusat.
Pada pemeriksaan balas, Wan Shaharuddin bagaimanapun merujuk saksi kepada pernyataan yang diberikannya kepada SPRM yang didakwa bercanggah dengan keterangannya di mahkamah.
Dalam pernyataan kepada SPRM, Pengarah Levant Industries itu menyatakan beliau tidak mengetahui sama ada Syed Saddiq pernah mengarahkan Rafiq Hakim berbuat demikian, yang mana ia tidak konsisten dengan keterangan kepada mahkamah.
Wan Shaharuddin kemudian menyatakan bahawa Ulya Aqamah berbohong dan beliau boleh didakwa kerana memberikan keterangan yang tidak selari dengan pernyataan yang diberikan kepada SPRM ketika sesi soal siasat.
Ketika ditanya oleh pihak pendakwaan, saksi tidak mengingati sama ada beliau berada di rumah Syed Saddiq sebelum pengeluaran wang RM1 juta dibuat pada 6 Mac 2020.
Ulya Aqamah turut menafikan bahawa keterangannya di mahkamah adalah sesuatu yang difikirkan semula (afterthoughts).
Sewaktu pemeriksaan semula oleh peguam Tiara Katrina Fuad, saksi menegaskan keterangannya di mahkamah sejak awal konsisten dengan pernyataan yang diberikan kepada SPRM.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan tiga muka surat daripada keseluruhan pernyataan SPRM yang diberikan oleh Ulya Aqamah, sebagai eksibit.
Sebelum itu, peguam Gobind Singh Deo membantah permohonan tersebut atas alasan penyataan kepada SPRM itu tidak boleh digunakan untuk mencabar kredibiliti Ulya Aqamah yang merupakan saksi pembelaan.
Ketika membacakan kenyataan bertulisnya, Ulya Aqamah berkata, kepimpinan G5 pernah mengadakan beberapa mesyuarat di rumah Syed Saddiq bagi membincangkan tindakan yang diambil selepas `Langkah Sheraton’ serta bantuan yang akan diberikan berikutan penularan Covid-19.
Pengarah Levant Industries itu mengesahkan, namun ketika itu pihak G5 tidak pernah membuat sebarang keputusan spesifik berkaitan jumlah wang bantuan yang perlu dikeluarkan.
Ujar saksi, beliau menghadiri keseluruhan mesyuarat dan mengesahkan Syed Saddiq tidak pernah menyatakan beliau berhak terhadap wang dalam akaun Armada kerana ia merupakan hasil titik peluh beliau selain untuk membolehkannya mendapat manfaat politik (political mileage).
Perbicaraan bersambung 13 Mac ini.
Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq, 30, didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – UTUSAN