RM800,000 berjaya dikutip bantu mangsa gempa Turkiye-Syria - Utusan Malaysia

RM800,000 berjaya dikutip bantu mangsa gempa Turkiye-Syria

Mangsa gempa
AMZAR Khalil Khalid (kiri) menerima mock cek wang sumbangan daripada wakil Surau Al-Furqan Putrajaya dekat ibu pejabat MyFundAction, Kota Kemuning, di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak RM800,000 dana berjaya dikutip Pertubuhan Kemanusiaan  MyFundAction hasil sumbangan orang awam dan masjid sekitar Lembah Klang bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Ketua Operasi Misi Bantuan Gempa Turkiye-Syria MyFundAction, Amzar Khalil Khalid berkata, derma tersebut diterima selepas tabung khas diwujudkan pada minggu lalu bagi membantu mangsa bencana itu.

“Antara masjid dan surau yang memberikan sumbangan seperti Masjid Kota Damansara, Masjid As Salam Puchong, Surau Al-Furqan Putrajaya, Surau Al-Hijrah Kota Kemuning dan pertubuhan amal, An Nisaa Care.

“Sebelum tabung ini dilancarkan, kami sumbangkan RM700,000 juga hasil derma orang awam bagi membantu mangsa bencana berkenaan pada minggu lalu,” katanya dalam majlis penyerahan derma Bantuan Gempa Turkiye-Syria MyFundAction di ibu pejabat MyFundAction di Kota Kemuning, hari ini.

Beliau menambah, wang derma yang dikumpul akan digunakan untuk membeli beberapa buah khemah sebagai tempat berteduh dan pek makanan kepada mangsa gempa bumi serta pengurusan pengebumian untuk mereka yang meninggal dunia.

Kata Amzar Khalil, MyFundAction turut bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Turkiye bagi memudahkan pemberian sumbangan kepada mangsa.

“Ketika ini, seramai dua anggota sukarelawan MyFundAction kini sedang bertugas di sebuah lokasi gempa bumi di Turkiye. Sekiranya ada keperluan, kita akan hantar lebih ramai sukarelawan ke lokasi bencana,” ujarnya.

Amzar Khalil berharap orang ramai dapat menyalurkan wang bantuan kepada mangsa bencana kerana mereka amat memerlukan pelbagai peralatan untuk kelangsungan hidup mereka.

Bagi mereka yang ingin membuat sumbangan, mereka boleh berbuat demikian dengan menyalurkan wang akaun Maybank MyFundAction di nombor akaun 550510970367. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya