BALING: Seorang remaja perempuan meninggal dunia dalam kebakaran yang melibatkan sebuah rumah di Kampung Besah, Kuala Ketil di sini, pagi ini.
Mangsa, Nor Batrisha Rozali, 14, ditemukan di dalam bilik tidur kediaman terbabit oleh anggota bomba yang memadam kebakaran.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd. Hamizi Wan Mohd. Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.08 pagi.
Menurutnya, hasil pemerhatian pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati, kebakaran terbabit dipercayai bermula pada bahagian dalam bilik tidur.
“Rumah tersebut yang berkeluasan 40 kaki x 20 kaki didapati terbakar kira-kira 90 peratus dan kerja-kerja ‘overhaul’ kini sedang dijalankan oleh anggota bomba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling bersama sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan. –UTUSAN