Remaja hidap penyakit Crohn perlu RM56,400 - Utusan Malaysia

Remaja hidap penyakit Crohn perlu RM56,400

NUR EIFFA HAZEEQA Hazeeqa Mohd. Hafiz memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM56,400 bagi menampung kos rawatan penyakit Crohn yang dihidapinya sejak tujuh tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTERWORTH: Seorang remaja berusia 18 tahun memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM56,400 bagi menampung kos rawatan penyakit Crohn iaitu sejenis penyakit radang usus yang dihidapinya sejak tujuh tahun lalu.

Remaja berkenaan, Nur Eiffa Hazeeqa Mohd. Hafiz memerlukan ubatan khas bagi mengelakkan penyakit dihidapinya itu semakin serius.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia turut berdepan beberapa komplikasi kesihatan lain antaranya masalah jantung, paru-paru Bronkiolitis Obliterans (BO), obesiti dan gastroenterologi yang menjejaskan saluran pencernaannya.

“Saya pernah menjalani empat pembedahan sejak berusia sembilan bulan, malah sehingga kini terpaksa berulang-alik ke hospital untuk pemeriksaan dan sesi rawatan.

“Selain itu, satu lubang ‘ostomi’ antara bahagian dada dan tengkuk yang ditebuk doktor bagi memudahkan ubat dimasukkan turut mengalami keradangan akibat jangkitan kuman.

“Sehingga kini, saya masih menjalani rawatan di hospital bagi memastikan luka lubang ostomi dapat dirawat sekali gus mengelakkan daripada fungsi jantung terganggu,” katanya yang menetap bersama keluarganya di Shah Alam, Selangor.

Dalam pada itu, ibunya, Sharifah Nur Aminah Syed Abd. Hamid, 41, berkata, selain rawatan penyakit Crohn, anaknya turut memerlukan ubatan khas bagi mengubati masalah obesiti dan pencernaannya berharga RM300.

Katanya, ubat-ubatan itu pula perlu dibeli setiap enam hari kerana kesan sampingan steroid menyebabkan berat badannya meningkat.

“Suami saya bekerja sebagai pereka grafik bebas manakala saya menjual kek secara dalam talian dan pendapatan kami berdua sebanyak RM3,000 sebulan tidak mencukupi untuk menampung rawatannya.

“Sejujurnya, wang simpanan selama ini juga habis digunakan untuk merawat pelbagai masalah kesihatan yang dihidapinya sejak lahir,” katanya.

Sementara itu, walaupun keadaan kesihatannya kurang memberangsangkan, Nur Eiffa Hazeeqa tetap bersemangat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Katanya, dia berazam untuk melakukan yang terbaik walaupun terpaksa mengambil peperiksaan bersendirian tanpa sokongan rakan-rakan di sisi.

Dalam pada itu, Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya melancarkan kempen menderma untuk meringankan beban keluarga Nur Eiffa Hazeeqa.

Jelas Sui Hau, orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian melalui laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui aplikasi One Hope Charity selain melalui akaun Public Bank pertubuhan itu di nombor 3201428817. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.