REE dicuri, lebih 50 ditahan - Utusan Malaysia

REE dicuri, lebih 50 ditahan

RUMAH kongsi dibina berhampiran lokasi didakwa perlombongan unsur nadir bumi atau REE di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Elemen nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik dipercayai dicuri lagi oleh pihak tidak bertanggungjawab susulan serbuan dilakukan pihak berkuasa pada Selasa lalu.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, dalam operasi dike­tuai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen, lebih 50 individu terma­suk warga asing ditahan.

Katanya, serbuan di Kompartmen 12 hutan terbabit me­nemukan buku dipercayai digunakan untuk tujuan merekod pengeluaran nadir bumi di tapak haram berkenaan.

“Operasi dijalankan selepas menerima maklumat awam mengenai kegiatan mencurigakan di puncak bukit itu yang dipercayai ada kaitan dengan pengeluaran REE secara haram seperti dilaporkan sebelum ini.

“Pemeriksaan mendapati tiada seorang daripada mereka yang ditahan itu mempamerkan permit memasuki hutan simpan yang sah. Difahamkan warga asing­ yang ditahan disyaki pekerja diupah melombong REE di kawasan itu,” katanya.

Pengarah Perhutanan Kedah, Muhammad Abdullah mengesahkan serbuan berkenaan namun enggan mendedahkan le­bih lanjut dikhuatiri mengganggu siasatan.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan merujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Kes ini bukan sekadar melibatkan Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negeri Kedah 1985 tetapi berkaitan Akta Imigresen 1959/63 dan kesalahan berkaitan sumber mineral,” katanya.

Pada 3 Oktober tahun lalu, akhbar ini secara eksklusif mendedahkan negara mungkin mengalami kerugian yang tinggi apabila hasil unsur nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang terbabit dicuri pihak tertentu sejak dua tahun lalu.

Mineral tidak beradioaktif yang ditemukan di kawasan itu adalah sumber semula jadi bernilai tinggi yang boleh digunakan bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan barangan digital lain serta kereta elektrik, industri bateri dan magnet berintensiti tinggi.

Perkara itu terbukti apabila Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengesahkan kepada Utusan Malaysia bahawa JPNK dan polis merampas 185 guni disyaki bahan mineral dalam sebuah lori yang keluar dari Hutan Simpan Bukit Enggang.

Kesemua bahan rampasan terbabit yang dihantar oleh Jabatan Mineral dan Geosains Kedah, Perlis dan Pulau Pinang untuk menjalani ujian makmal secara terperinci kemudian di­sahkan sebagai nadir bumi.

Susulan itu seorang lelaki warga China dikenakan dua kompaun oleh JPNK dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menerusi Pejabat Pengarah TPR berjumlah RM630,000.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi pada 10 Januari lalu menegaskan kelewatan menyediakan prosedur standard operasi (SOP) berkaitan pengekstrakan REE mendatangkan kerugian kepada negara dan negeri yang memiliki mineral itu.

Katanya, ketiadaan garis panduan berkaitan juga berkemungkinan mendorong pihak tidak bertanggungjawab mengekstrak REE secara haram seperti yang berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, tahun lalu.

“Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam (mesyuarat) Majlis Tanah Negara (MTN) suruh kita tunggu SOP dikeluarkan, tapi sampai sekarang belum terima SOP. Oleh kerana ‘barang’ ini dapat permintaan tinggi dengan nilai amat baik, maka orang tak dapat tunggu lama-lama.

“Jadi mereka bawa keluar tanpa isytihar ia sebagai REE bagi mengaburi pihak berkuasa. Dalam pengamatan saya, mine­ral REE ini bukan sahaja dikeluarkan di beberapa lokasi di Kedah, malah turut dikeluarkan di beberapa lokasi di negeri-negeri lain secara haram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN