KUALA LUMPUR, : Sebagai medium popular, radio masih mampu berperanan membentuk pandangan umum melalui penyampaian maklumat bagi mencapai keamanan sejagat.
Bekas Pengurus Berita Bernama Radio, Mohamad Letfee Ahmad berkata, radio juga saluran berkesan dalam mengekalkan corak tadbir urus baik sesebuah negara melalui penyebaran naratif yang tepat dan tidak berat sebelah.
“Dalam menjalankan fungsi ini, radio menjadi penentu dasar dan dianggap sebagai saluran penting dalam mengekalkan keamanan sesebuah masyarakat dan negara,” katanya dalam program Helo Selangor terbitan Selangor FM sempena Hari Radio Sedunia 2023 hari ini.
Letfee yang memulakan kerjaya dalam bidang penyiaran di Radio Malaysia Pulau Pinang pada 1979 berkata Hari Radio Sedunia 2023 yang bertemakan Radio dan Keamanan disambut di tengah-tengah konflik berterusan di Ukraine, protes di Iran dan ketidakstabilan politik di Taiwan.
“Namun konflik yang lebih memudaratkan ialah konflik naratif yang dicetuskan oleh perbezaan ideologi dan kepercayaan. Jika tidak dibanteras, ia akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat seperti yang kerap berlaku pada musim pilihan raya,” katanya ketika ditemu bual oleh penyampai Selangor FM, Nurul Norashikin Abu Shaari.
Letfee yang merupakan bekas Pensyarah Kanan di Limkokwing University sebelum menyertai Bernama Radio berkata sebagai medium popular, radio berperanan membentuk pandangan umum melalui penyampaian naratif yang menjurus kepada melaksanakan fungsi mengekalkan keamanan sejagat serta demokrasi melalui laporan yang adil dan tidak berat sebelah.
Bercakap mengenai perkembangan industri radio konvensional dalam menghadapi persaingan industri digital, Letfee berkata satu-satunya pilihan ialah radio perlu mengikut trend dengan mengaplikasikan teknologi digital dalam penyiaran kandungannya.
“Pendengar sekarang tidak lagi mempunyai masa untuk mengikuti siaran yang berstruktur seperti program drama atau hiburan selama sejam atau tiga puluh minit. Trend sekarang ialah penerbitan program berdurasi pendek bagi memenuhi trend penontonan masyarakat sekarang.
“Persaingan radio sekarang ialah YouTube dan TikTok yang ringkas tetapi sarat maklumat,” katanya dalam slot yang diterbitkan oleh Noorasikin Salleh yang juga merupakan bekas pelajarnya di Limkokwing University pada 2007.
Hari Radio Sedunia 2023 merupakan edisi ke-12 setelah mula diisytiharkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2011.-utusan










