Pulau Batu Layang umpama ‘mini’ Tasmania - Utusan Malaysia

Pulau Batu Layang umpama ‘mini’ Tasmania

DARI tumpuan kaki pancing, Pulau Batu Layang kini mula menjadi tumpuan pelancong yang ingin menikmati panorama indah lokasi berkenaan di Kuala Perlis. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pulau Batu Layang dahulu hanya menjadi tum­puan kaki pancing dan nelayan namun kebelakangan ini lokasi berkenaan semakin popular dalam kalangan pengunjung termasuk pelancong berikutan keindahan panoramanya seolah-olah seperti berada di pulau Tasmania, Australia.

Menariknya, Pulau Batu La­yang merupakan satu-satunya pulau yang ada di negeri ini terletak di Kuala Perlis di sini dan kini menjadi satu lagi lokasi wajib pelancongan.

Sejak kemudahan pontoon disediakan di situ oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lokasi berkenaan mula ‘diserbu’ pengunjung untuk merakam gambar dan berkelah.

Ekoran itu, komuniti nelayan Kurung Tengar di sini juga mampu menambah pendapatan menerusi sewaan bot membawa pengunjung menikmati keindahan kawasan berkenaan.

Selain boleh menikmati keindahan matahari terbenam, lokasi itu juga dilihat berpotensi untuk aktiviti seperti berkhemah, berkayak serta stand-up paddle.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pengunjung, Rosnani Nazri, 38, berkata, jika dahulu, pulau berkenaan hanya dikunjungi kaki pancing namun kini turut menjadi tumpuan pengunjung yang tidak melepaskan peluang menikmati keindahan di lokasi itu.

Katanya, lazimnya suasana di kawasan berkenaan pada sebe­lah petang sehingga matahari terbenam sangat cantik.

“Siapa sangka Pulau Batu La­yang kini mula menjadi tumpuan sebagai salah satu lagi lokasi pelancongan de­ngan pemandangan memukau dan keindahan panorama. Saya bersama rakan-rakan tidak melepaskan peluang mengunjungi lokasi tersebut.

“Pelbagai aktiviti kami lakukan seperti berkhemah, berkayak selain merakam banyak gambar yang cantik. Selalunya, kami tunggu sehingga matahari terbenam bagi melihat keindahannya,” katanya.

Seorang pengusaha bot, Mohd Fitri Andah, 29, pula berkata, pihaknya mengenakan caj RM70 bagi sebuah bot yang memuatkan empat ke enam orang untuk ke pulau berkenaan.

“Selalunya pada cuti hujung minggu orang ramai dengan empat ke lima trip sehari. Kita bawa mereka untuk melihat pemandangan-pemandangan cantik di kawasan itu.

“Pengunjung ramai juga datang dari seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan bot yang bermula dari pangkalan nelayan Sungai Kurung Tengar di sini. Sebagai nelayan, bolehlah kami tambah pendapatan dengan menyediakan perkhidmatan bot ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya