Prosiding PAC perlu dibuka kepada umum - Bekas Pengerusi

Prosiding PAC perlu dibuka kepada umum – Bekas Pengerusi

WONG KAH WAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu dijalankan secara terbuka seperti perbahasan di Parlimen yang boleh disaksikan semua pihak termasuk orang awam.

Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, isu tersebut sudah dibangkitkan beberapa kali, namun tidak pernah diberi perhatian serius oleh kerajaan dan Parlimen.

Beliau juga mencadangkan supaya Parlimen menetapkan satu hari setiap dua minggu persidangan bagi tujuan perbahasan laporan-laporan PAC sekiranya terdapat laporan yang dibentang.

“Isu ini melibatkan hak mengetahui oleh rakyat. Segala keterangan yang diberi dalam prosiding jawatankuasa dapat dinilai oleh rakyat sendiri. Saya berharap perkara ini dapat ditangani segera oleh kerajaan dan Speaker baharu kita.

“Apabila sidang Parlimen boleh dipapar secara langsung di kaca televisyen, tidak ada apa-apa alasan yang harus membatas prosiding PAC dan jawatankuasa khas Parlimen turut diadakan secara langsung,” katanya semasa perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas Pengerusi PAC itu berkata, kerajaan dan Parlimen antara lain perlu memastikan laporan-laporan PAC perlu diberi ruang untuk dibahas dalam persidangan.

Katanya, peraturan mesyuarat yang sedia ada tidak mewajibkan laporan-laporan berkenaan dibahas, dan kebanyakan masa laporan yang dibentang hanya sekadar dokumen yang diletak di atas meja ahli-ahli Parlimen malah tidak diberi perhatian lanjut.

“Memang di bawah peruntukan Peraturan Mesyuarat, usul berkenaan dengan perbahasan laporan-laporan berkenaan boleh dimasukkan oleh ahli Dewan Rakyat, termasuklah Pengerusi PAC dalam kapasitinya sebagai Ahli Dewan.

“Tetapi, ia akhirnya bergantung kepada budi bicara kerajaan dan speaker. Jadi, di manakah autonomi PAC sekiranya setiap kali permintaan untuk perbahasan adalah bergantung kepada mereka?” soalnya.

Pada Januari tahun lalu, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang merupakan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu berkata, mesyuarat jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk membincangkan isu pegangan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki tidak akan dibuka kepada orang ramai berikutan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, ia bertujuan untuk memelihara integriti prosiding serta memastikan kerjasama lengkap daripada semua yang terlibat.

Bagaimanapun, Kah Woh ketika itu Pengerusi PAC menyelar kenyataan Azhar Azizan mengenai kes Azam.

Ini kerana, Azhar Azizan mempunyai kapasiti untuk memulakan penggantungan Peraturan Mesyuarat Parlimen merujuk Peraturan Mesyuarat 90 (2) yang membolehkan sebarang prosiding jawatankuasa Parlimen boleh disiarkan secara dalam talian dan dibuka kepada awam.

Azam sebelum ini yakin dan menegaskan tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak memiliki kepentingan serta pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.

Beliau antara lain tidak melihatnya sebagai isu apabila membenarkan adiknya, Nasir Baki, menggunakan akaun Azam membeli saham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya