Projek jangka panjang baik pulih hakisan pantai

Projek jangka panjang baik pulih hakisan pantai

KEADAAN hakisan pantai di Kampung Bari, Setiu, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu mengemukakan cadangan untuk membaik pulih hakisan pantai sepanjang empat kilometer di Kampung Bari di sini.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPS negeri, Osman Abdullah berkata, cadangan jangka panjang itu dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, pelaksanaan projek tersebut bertujuan mengawal hakisan pantai yang melanda sejak 2017 dan mengurangkan impak kerosakan harta benda pada masa akan datang.

“Berdasarkan Laporan Hakisan Pantai Negara (NCES) 2015, kawasan dilaporkan terhakis ini adalah kawasan yang cukup stabil sebelum ini walaupun menerima ombak setinggi 1.5 sehingga tiga meter.

“Bagaimanapun, permerhatian sejak 2017 selain maklumat penduduk kampung, didapati Pantai Kampung Bari mengalami hakisan dengan kadar 10 meter setiap tahun sepanjang empat kilometer.

“Sehubungan itu, satu cadangan dibuat di bawah ‘Rolling Plan’ keempat RMK12 selain langkah segera mengatasi hakisan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bari Kecil,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Osman, terdapat struktur yang telah musnah akibat daripada hakisan di kawasan itu seperti wakaf, tapak pekan budaya, taman rekreasi, pokok rhu dan jalan pesisir pantai.

Katanya, antara faktor dikenal pasti sebagai punca berlakunya hakisan pantai adalah faktor semulajadi termasuk ribut, angin kencang, kenaikan paras air laut serta perubahan cuaca ekstrim.

“Ada juga faktor bukan semulajadi iaitu penambakan, perlombongan pasir, pengorekan muara dan pembinaan struktur di kawasan pantai yang telah mengubah morfologi pantai,” jelasnya.

Akhbar ini minggu lalu melaporkan kebimbangan penduduk terhadap sebuah tanah perkuburan Islam di Kampung Bari Kecil yang diancam hakisan dan berdepan risiko ‘dilenyapkan’ pantai.

Penduduk kampung mendakwa, tiga projek berjumlah lebih RM700,000 bagi mengawal hakisan dilaksanakan namun gagal menyelesaikan isu berkenaan.

Keadaan sebaliknya bertambah parah dengan jarak kubur terbabit dengan pantai kini tidak sampai 20 meter selain turut memusnahkan tandas awam dan wakaf yang terletak 200 meter dari kubur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.