KUALA LUMPUR: Meskipun kedudukan Malaysia turun dua anak tangga di tempat ke-41 dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2022, namun ia tidak menunjukkan prestasi terlalu buruk memandangkan negara dilanda pandemik Covid-19 sebelum ini.
Memaklumkan perkara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jaminan makanan negara berada pada tahap sederhana dengan skor 69.9 peratus.
“Kita masih lagi dalam keadaan dua tahun hadapi pandemik, kita masih boleh berdikari,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) meminta kerajaan menyatakan langkah meningkatkan semula kedudukan Malaysia dalam GFSI 2022.
Pada 2021, laporan tahunan diterbitkan Unit Perisikan Ekonomi (EIU) itu menunjukkan Singapura dan Malaysia masing-masing berada di tangga ke-15 dan 39.
Kedudukan ini mengambil kira sistem rantaian dan faktor lain membabitkan bekalan berdasarkan konsep keselamatan makanan seperti diperkenalkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB menerusi Sidang Kemuncak Makanan Dunia 1996.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, Mohamad (PH-Kota Raja) berkata masih terdapat ruang untuk kerajaan meningkatkan kedudukan dalam GFSI bagi tempoh seterusnya terutama bagi kategori ‘kelestarian’ dan ‘adaptasi’ yang diklasifikasikan ‘lemah’ dengan skor 53.7 peratus.
“Tindakan susulan oleh kerajaan tidak hanya bertujuan mengukuhkan kedudukan negara dalam GFSI tetapi memastikan sistem makanan kekal berdaya tahan dalam pelbagai keadaan,” katanya.
Sejak tahun lalu, pengguna merungut susulan kekurangan bekalan makanan asas antaranya telur dan ayam yang kini masih tidak diselesaikan sepenuhnya. – UTUSAN










