Polis rampas rokok seludup bernilai RM180,000 - Utusan Malaysia

Polis rampas rokok seludup bernilai RM180,000

KOTAK berisi rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Universiti Seri Iskandar semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis merampas 11,550 karton rokok seludup pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM184,800 dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Universiti Seri Iskandar semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan di rumah yang dipercayai dijadikan stor simpanan rokok seludup itu membawa tangkapan seorang lelaki berusia 43 tahun.

Katanya, serbuan hasil maklumat awam sekitar pukul 7.10 petang itu dijalankan oleh sepasukan pegawai polis Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh, Sitiawan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah.

“Semasa menjalankan Op Kontraban di Jalan Ipoh-Lumut, pasukan itu telah ternampak sebuah Proton Exora yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Kenderaan itu telah diekori sehingga berhenti di hadapan sebuah rumah di mana seorang lelaki telah masuk ke dalam premis itu dan membawa keluar beberapa kotak besar lalu memasukkannya ke dalam kereta,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, serbuan dan pemeriksaan ke atas premis dan kereta itu menemui 231 kotak besar berisi 11,550 karton rokok pelbagai jenama dipercayai rokok seludup tanpa cukai kastam.

Katanya, nilai rampasan rokok itu dianggarkan berjumlah RM184,800 dengan nilai cukai kastam kira-kira RM1.5 juta.

“Turut dirampas dalam serbuan itu sebuah kereta Proton Exora, dua buah telefon bimbit dan barangan lain yang berkaitan.

“Suspek ditahan reman bermula hari ini sehingga Jumaat depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sindiket penyeludupan rokok di negeri ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya