Polis rampas 1.8 tan dadah bernilai RM64.8 juta, cuba rasuah polis RM200,000 - Utusan Malaysia

Polis rampas 1.8 tan dadah bernilai RM64.8 juta, cuba rasuah polis RM200,000

SURINA Saad (empat dari kanan) menunjukkan antara dadah jenis syabu seberat 1.8 tan bernilai RM64.8 juta yang dirampas oleh pihak berkuasa dalam sidang akhbar di IPK Perlis, Kangar, Perlis hari ini. UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 1.8 tan metrik dianggarkan bernilai RM64.8 juta dalam pemeriksaan bersepadu dijalankan sekitar Jalan Sungai Baru, Simpang Empat, pada Ahad lalu.

Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 4 pagi itu, polis turut menahan lima suspek membabitkan empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 29 hingga 49 tahun.

Rampasan kes berkaitan dadah itu merupakan yang terbesar di Malaysia tahun ini.

Salah seorang suspek tersebut juga cuba menawarkan wang sogokan berjumlah RM200,000 kepada pasukan anggota polis yang terlibat dalam operasi itu sebagai habuan bagi menutup kes berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, kegiatan pengedaran dadah itu berjaya dikesan setelah pihak polis memeriksa sebuah lori satu tan yang sedang ditunda oleh sebuah lori lain.

Katanya, tindakan licik itu bagaimanapun gagal mengaburi mata pihak berkuasa yang melihat lori berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu telah membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 1.8 tan dan dianggarkan bernilai RM64.8 juta.

“Salah seorang suspek yang ditahan turut bertindak menawarkan wang sogokan berjumlah RM200,000 kepada semua anggota polis yang terlibat dalam operasi itu sebagai habuan bagi menutup kes tersebut.

“Bagaimanapun semua anggota terlibat telah menolak dan merampas wang tersebut untuk tindakan dibawah langkah pencegahan rasuah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini.

Tambah Surina, saringan awal terhadap semua suspek terlibat mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, polis turut menyita pelbagai aset lain milik suspek bernilai RM406,603.65 membabitkan tiga buah kenderaan, 31 barang kemas, seutas beg tangan mewah dan wang tunai.

“Dadah yang diletakkan dalam bungkusan teh bagi mengaburi mata pihak berkuasa itu juga dipercayai cuba dipasarkan di kawasan semenanjung Malaysia dan mampu menampung kegunaan sembilan juta penagih,” katanya.

Tambahnya lagi, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan ketika ini dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat tangkapan baharu akan dilakukan membabitkan sindiket berkenaan selepas ini.

“Operasi bersepadu melibatkan semua elemen akan diteruskan selepas ini khususnya di kawasan yang berdekatan dengan sempadan negara,” katanya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga Sabtu ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya