IPOH: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian sekumpulan aktivis alam sekitar dan penduduk yang mendakwa ditahan sekumpulan individu ketika menyertai tinjauan pencerobohan di Pantai Pasir Panjang, Segari di Lumut semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, laporan polis berkaitan perkara itu dibuat pengurus syarikat terbabit semalam.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada melakukan kesalahan pencerobohan jenayah.
“Tiada yang ditahan, hanya salah faham. (Bagaimanapun), kita ada terima laporan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menerusi laporan media semalam, beberapa aktivis alam sekitar dan penduduk ditahan kira-kira dua jam oleh kumpulan individu dipercayai wakil syarikat yang melakukan kerja-kerja pengorekan pasir di kawasan berkenaan.
Mereka yang menaiki beberapa kenderaan pikap dihalang meninggalkan kawasan tersebut apabila wakil syarikat meletakkan kenderaan berat bagi menghalang laluan sehingga berlaku kekecohan.
Kumpulan individu itu dikatakan bertindak demikian kerana mendakwa aktivis alam sekitar dan penduduk masuk ke tanah milik syarikat itu tanpa kebenaran.
Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing diiringi anggota polis pergi ke lokasi tersebut untuk berunding sekali gus menyelesaikan perbalahan.
Terdahulu, May Ing bersama wartawan, wakil persatuan nelayan, anggota polis serta Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman, pergi ke lokasi pencerobohan pantai menaiki bot nelayan.
Selepas melakukan tinjauan, kumpulan itu kembali ke Pantai Teluk Senangin menaiki bot yang sama dan sebaik tiba di pantai tersebut, mereka diberitahu kumpulan yang menggunakan laluan darat dihalang keluar memaksa May Ing pergi ke lokasi menggunakan kenderaan pacuan empat roda. – UTUSAN










