Perjuangan Bersatu atas semangat, bukan wang - Azlinda

Perjuangan Bersatu atas semangat, bukan wang – Azlinda

AZLINDA Abd. Latif (duduk, tengah) mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat PN Johor, Taman Scientex Utama, Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digerakkan atas semangat, bukannya wang ringgit.

Justeru, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Azlinda Abd. Latif menegaskan bahawa tindakan pihak berkuasa membekukan akaun tidak akan menjejaskan pergerakan jentera parti berkenaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri, tidak lama lagi.

Menurutnya, kekangan ekonomi bukan perkara baharu ekoran situasi sama pernah dihadapi Bersatu ketika awal penubuhannya pada 2016.

“Realitinya, tindakan pihak berkuasa membekukan akaun milik parti memang sukar, tetapi itu bukan faktor utama yang menggerakkan kita, sebaliknya semangat untuk memperjuangkan rakyat.

“Walaupun dengan dana yang terhad, kita yakin masih dapat bergerak walaupun secara sukarela,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) Johor, di Taman Scientex Utama, di sini hari ini.

Yang turut hadir, dua Timbalan Ketua Wanita PN Johor, Zakiah Tukirin dan Susan Yong.

Azlinda yang juga Ketua Wanita PN Johor mendakwa tindakan kerajaan perpaduan membekukan akaun Bersatu adalah bagi mencemar nama dan imej Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tindakan ini tidak lain tidak bukan adalah satu bentuk pembunuhan karakter politik atau ‘political assassination’ terhadap Tan Sri Muhyiddin, ia juga merupakan satu pembaziran masa dan tenaga oleh kerajaan.

“Ini kerana rakyat negara ini sudah terima penubuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Jadi, sepatutnya mereka tumpukan terhadap usaha membela kebajikan rakyat,” katanya.

Sekiranya kerajaan tetap meneruskan fitnah terhadap Muhyiddin dan Bersatu, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis.

“Jika benar siasatan mahu dibuat, ia perlulah menyeluruh iaitu dengan turut menyiasat PH dan BN yang turut didakwa berbelanja mewah semasa PRU lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya