PETALING JAYA: Institut Jantung Negara (IJN) menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan Kateter Ablasi TactiFlex Duo, teknologi ablasi jantung dwi-tenaga bagi merawat gangguan rentak jantung kompleks termasuk fibrilasi atrium dan aritmia ventrikel.
Teknologi baharu itu membolehkan pakar menggunakan dua sumber tenaga iaitu frekuensi radio (RF) dan ablasi medan berdenyut (PFA) dalam satu prosedur, sekali gus memberi lebih pilihan rawatan mengikut keadaan pesakit.
Pengarah Klinikal Elektrofisiologi Intervensi dan Peranti Implan IJN, Datuk Dr. Azlan Hussin berkata, keupayaan dwi-tenaga itu membolehkan doktor menyesuaikan rawatan dengan lebih tepat berdasarkan anatomi dan keperluan klinikal setiap pesakit.
“Teknologi ini memberi fleksibiliti kepada doktor untuk bertukar antara penggunaan tenaga PFA dan RF semasa prosedur dijalankan, sekali gus membantu merawat gangguan rentak jantung yang kompleks seperti fibrilasi atrium dan takikardia ventrikel.
“Dalam rawatan gangguan rentak jantung, setiap pesakit mempunyai keadaan yang berbeza. Oleh itu, keupayaan menyesuaikan terapi ablasi mengikut keadaan pesakit amat penting, khususnya bagi kes-kes yang lebih mencabar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, teknologi tersebut melengkapkan sistem ablasi sedia ada di IJN dan menyediakan satu lagi pilihan rawatan bagi meningkatkan hasil prosedur serta penjagaan pesakit.
Katanya, pesakit yang masih mengalami simptom walaupun telah menerima ubat-ubatan atau rawatan konvensional lain berpotensi mendapat manfaat daripada pilihan rawatan yang lebih diperibadikan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md. Taib berkata, pengenalan teknologi tersebut mencerminkan komitmen berterusan IJN untuk membawa inovasi kardiovaskular terkini ke dalam amalan klinikal.
Beliau berkata, penggunaan teknologi baharu itu memastikan pesakit di Malaysia mempunyai akses kepada pilihan rawatan moden bagi gangguan rentak jantung yang kompleks selain disokong oleh kepakaran pasukan perubatan yang berpengalaman.
“Setiap teknologi baharu yang diperkenalkan di IJN dinilai berdasarkan keperluan klinikal, keselamatan pesakit dan potensinya untuk meningkatkan hasil rawatan,” katanya. – UTUSAN










