Penyelia cedera di muka, bahu diserang beruang matahari - Utusan Malaysia

Penyelia cedera di muka, bahu diserang beruang matahari

MOHD. Syukri Zakaria menunjukkan kecederaan yang dialami di bahagian bahu kiri selepas diserang seekor beruang matahari di Kampung Tok Dor, Hulu Terengganu, minggu lalu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang penyelia syarikat pembalakan cedera di mu­ka dan bahu kiri setelah diserang seekor beruang matahari di Kampung Tok Dor, Hulu Terengganu dekat sini, minggu lalu.

Mohd. Syukri Zakaria, 39, berkata, kejadian pada 1 Februari itu berlaku ketika dia dan seorang lagi rakan hendak membaiki paip kira-kira 500 meter dari rumah kongsi diduduki pekerja syarikat itu.

Menurutnya, mereka terdengar bunyi pelik dari arah semak berdekatan sebelum haiwan itu tiba-tiba muncul.

Ini menyebabkan mereka ber­tempiaran lari menye­la­mat­kan diri.

“Saya terjatuh menyebabkan beruang matahari se­tinggi lebih dua meter itu menerkam dengan menggunakan kepalanya ke arah muka saya.

“Saya cuba menepis tetapi haiwan tersebut semakin agresif apabila menggigit bahu saya menyebabkan saya ke­sakitan dan panik.

“Pergelutan itu berlaku lima minit sebelum saya melaungkan ‘Allahuakbar’ sekuat hati dan beruang itu melepaskan gigitannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pelong di sini semalam.

Jelasnya, selepas haiwan liar itu masuk semula ke arah semak, dia berjalan lebih 20 minit dalam kesakitan bagi mendapatkan pertolongan.

Katanya, dia diberi rawatan di Hospital Hulu Terengganu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada hari sama dan hanya dibenarkan keluar, kelmarin.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia menerima tujuh jahitan di bahagian muka akibat dicakar manakala bahu kirinya berlubang kesan gigitan beruang berkenaan.

“Pekerja di rumah kongsi itu memang sering terserempak dengan haiwan liar itu, namun tidak pernah bertindak agresif,” katanya.

Mohd. Syukri berkata, kejadian itu merupakan pengalaman pertama diserang beruang matahari sejak bekerja di kawasan tersebut namun dia mengakui tidak serik sebalik­nya akan lebih berhati-hati.

Susulan kejadian itu dia membuat laporan polis di Balai Polis Ajil, Hulu Terengganu serta memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya