Penjawat awam paling ramai terlibat rasuah di Johor  - Utusan Malaysia

Penjawat awam paling ramai terlibat rasuah di Johor 

AZMI Alias bersama Nor’ Ain Bakir dan Ramlee Johari menunjukkan tajuk drama radio 'Ringgit ke Syurga?' sempena ulang tahun JohorFM ke-58 di RTM Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Penjawat awam merupakan golongan tertinggi yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana disyaki terlibat rasuah dari tempoh 2020 hingga Disember 2022.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias berkata, daripada seramai 219 yang ditahan, 90 ialah penjawat awam manakala 75 pekerja swasta dan 54 orang awam.

Dalam tempoh sama, SPRM Johor membuka 196 kertas siasatan berkaitan kes rasuah dengan 101 kes dituduh di mahkamah.

“SPRM Johor juga telah menerima 940 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam tempoh yang sama,” katanya pada Majlis Pelancaran Drama Radio ‘Ringgit Ke Syurga?’ di Auditorium Permata Sari, Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Pengarah Program Radio, Jabatan Penyiaran Malaysia, Nor’ Ain Bakir yang turut dihadiri Pengarah Penyiaran Negeri Johor, Ramlee Johari.

Azmi berkata, berdasarkan 219 tangkapan yang dibuat sebelum ini menunjukkan 2021 merekodkan tangkapan tertinggi, iaitu sebanyak 89 tangkapan, diikuti tahun lalu (86) dan 2020 (41).

Tambahnya, berdasarkan statistik SPRM Johor dalam tempoh yang sama, sebanyak 82 kertas siasatan dibuka pada 2020 diikuti 61 kertas siasatan dibuka pada 2021 dan 53 pada tahun lalu.

Menurutnya, SPRM Johor telah mencatatkan jumlah sitaan sebanyak RM3.65 juta selain melucut hak rampasan pesalah rasuah bernilai RM213,831.60 dalam tempoh yang sama.

Mengenai drama radio sempena Sambutan Ulang Tahun JohorFM Ke-58, Azmi memberitahu, buat julung kalinya SPRM Johor dan Jabatan Penyiaran Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dalam menerbitkan drama radio berkisarkan kes rasuah sebenar yang pernah disiasat oleh pihaknya sebelum ini.

“Penyediaan skrip drama radio tersebut ditulis oleh pegawai SPRM Johor daripada Unit Pendidikan Masyarakat dan tiga cawangan SPRM, iaitu Batu Pahat, Kluang dan Segamat.

“Kerjasama dalam menyebarluaskan mesej anti rasuah menerusi media amatlah penting dalam menjadi medium perantaraan antara suruhanjaya ini dan masyarakat bagi memastikan setiap peringkat dapat memahami betapa bahayanya jenayah rasuah dan pada masa sama menghindari daripada melakukan perbuatan keji itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya