Penduduk resah, gajah rosakkan rumah, tanaman

Penduduk resah, gajah rosakkan rumah, tanaman

HASSAN Zakaria (kanan) dan Yob Yaacob (kiri) menunjukkan pokok kelapa yang telah dirosakkan sekumpulan gajah di Kampung Landai, Mukim Sok, Baling, Kedah. – FOTO/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Penduduk Kampung Landai dalam mukim Sok, di sini dilanda kebimbangan apabila enam ekor gajah didakwa semakin ke­rap menceroboh kebun dan meng­hampiri rumah mereka sejak seminggu lalu.

Dakwa penduduk, kumpulan gajah merosakkan tanaman penduduk seperti pokok pisang dan kelapa, namun tidak mengganggu tanaman lain.

Penduduk, Ahmad Ad, 51, ber­kata, enam ekor binatang itu dipercayai datang dari Hutan Ulu Muda untuk mencari makan dekat kawasan kampung.

“Gajah itu pernah menghampiri bahagian dapur rumah pada jarak kira-kira 100 meter sahaja. Namun, gajah-gajah itu hanya makan umbut pisang dan umbut kelapa sahaja dan tidak mengganggu tanaman lain se­perti pokok durian, cempedak dan langsat,” katanya ketika di­temui semalam.

Menurutnya, dua daripada gajah itu kelihatan kurus sehingga menampakkan tulang yang berkemungkinan akibat tidak cukup makan di dalam hutan sehingga menyebabkan haiwan tersebut merayau sehingga ke kawasan perkampungan berhampiran.

“Ada juga kemungkinan haiwan itu diganggu dise­babkan aktiviti pembalakan,” jelasnya.
Ahmad berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat bertindak segera bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Saya bimbang keselamatan keluarga termasuk isteri dan dua anak sekiranya diancam gajah liar ini. Risau kerana biasa­nya gajah yang ada anak ini sensitif dan boleh turun minyak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Yob Yaacob, 68, berkata, selama 20 tahun tinggal di situ, tidak pernah sekali pun gajah muncul sehingga ke muka pintu rumahnya.

“Dua hari lalu, saya terkejut apabila anak beritahu gajah menghampiri belakang rumah. Kami bimbang jika gajah mengamuk seterusnya mengancam nya­wa dan harta benda.

“Kawanan gajah itu menghampiri pintu dapur rumah dan makan pisang yang saya tanam selain meninggalkan najis di situ,” katanya.

Sementara itu, menurut Pe­ngerusi Jawatankuasa Kemaju­an dan Keselamatan Kampung (JKKK), Hassan Zakaria, pihak­nya telah menghubungi Perhilitan dan mereka bertindak de­ngan cara menghalaunya semula ke hutan.

“Cara menghalau ini tidak begitu berkesan kerana gajah-gajah itu akan datang semula ke kawasan penempatan penduduk, tambahan pula gajah-gajah itu mempunyai anak yang baru dilahirkan menyebabkan susah untuk bergerak semula jauh ke dalam hutan.

“Saya harap pihak Perhilitan mengambil inisiatif yang terbaik bagi mengatasi ancaman gajah ini, bimbang berlaku kecedera­an atau kehilangan nyawa penduduk kampung,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN