KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik dendam selain beberapa sahabatnya diugut oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan dijalankan.
Ahli Parlimen Muar itu menyatakan, mereka yang juga ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) diugut supaya memberikan kenyataan mengikut kehendak SPRM.
Ujar Syed Saddiq, ugutan tersebut terhenti apabila salah seorang rakannya bernama Hidayah membuat kenyataan media bahawa beliau diugut dan dikasari pegawai agensi itu ketika soal siasat manakala rakan lain membuat laporan polis.
Menurut Syed Saddiq, beliau turut menulis surat bertarikh 5 Jun 2020 kepada Tan Sri Abu Kassim Mohamed ketika itu Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional mengenai ugutan dan kekasaran yang berlaku kepada rakan-rakannya.
Bekas Ketua Armada itu menyatakan demikian ketika membela diri pada hari pertama perbicaraan yang dijadualkan sehingga Jumaat ini.
Pada prosiding itu, beliau diminta oleh peguam Haijan Omar merujuk transkrip rakaman audio dikatakan perbualan di antara beliau dan seorang pegawai kanan SPRM dikenali sebagai Ihsan.
Dalam transkrip rakaman audio itu, Ihsan dikatakan cuba memujuk Syed Saddiq menyokong Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana bekas Perdana Menteri tersebut yang membawa beliau memasuki Bersatu dan masih mengambil berat terhadapnya.
Rakaman perbualan itu turut mendakwa bahawa Ihsan memaklumkan kepada Syed Saddiq bahawa pihak SPRM menjadi `alat’ apabila berlaku pertukaran kerajaan.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sesi pemeriksaan balas, Syed Saddiq menyatakan beliau boleh mengesahkan bahawa suara dalam rakaman audio itu milik Ihsan.
Ketika ditanya Wan Shaharuddin bahawa dakwaan berhubung politik dendam tiada kaitan dengan pertuduhan yang dihadapinya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Ketika membacakan pernyataan saksi, Syed Saddiq berkata, sepanjang disiasat SPRM, Ihsan adalah pegawai yang bertindak mengetuai serbuan di rumahnya dan menyerahkan notis untuk hadir memberi keterangan di pejabat SPRM.
Ujar beliau, Ihsan turut menyoal siasat beliau dan selalu menghubunginya sepanjang siasatan selain memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat kes itu.
Dalam pernyataan bertulisnya, Syed Saddiq mendakwa, pihak pendakwaan turut menyembunyikan keterangan yang memihak kepadanya.
Syed Saddiq, 30, didakwa atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq, 30, didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid bersambung esok. – UTUSAN