Pencen ilat perlu disahkan JD, JDR

Pencen ilat perlu disahkan JD, JDR

MAT Izam Mohd. Kalam yang lumpuh separuh badan menjaga isterinya Heryalti yang mengalami masalah hilang ingatan di rumahnya di Taman Sri Telawi, Seremban. Kisahnya disiarkan Utusan Malaysia pada 21 Februari lalu. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bergantung kepada pertimbangan yang dibuat oleh Jemaah Doktor dan Jemaah Doktor Rayuan (JDR) dalam menentukan seseorang pencarum layak mendapat pencen ilat atau sebaliknya.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat, Izad Raya berkata, JD dan JDR juga merupakan panel bebas yang terdiri daripada pakar-pakar perubatan dilantik oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Perkeso ingin menegaskan bahawa keputusan terhadap permohonan pencen ilat adalah sepertimana yang telah ditetapkan dalam Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan media mengenai seorang pencarum Perkeso, Mat Izam Mohd. Kalam iaitu tentang permohonan pencen ilat beliau yang disiarkan oleh beberapa akhbar.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang warga emas yang lumpuh hampir separuh badan bukan sahaja diuji dengan masalah angin ahmar malah berdepan ujian berganda apabila isterinya hilang ingatan selepas berlaku pendarahan otak sejak empat tahun lalu.

Susulan daripada itu, Izad memaklumkan bahawa wakil Perkeso Negeri Sembilan sudah mengunjungi beliau di kediamannya untuk menziarahi dan memberi penerangan mengenai keputusan JDR.

“Mat Izam membuat permohonan untuk pencen ilat pada bulan Oktober 2020 dan pada bulan Mei tahun berikutnya, JD di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban mengesahkan bahawa keadaan kesihatan beliau pada ketika itu tidak ilat, seterusnya tidak melayakkan beliau menerima Pencen Ilat Perkeso

“Mat Izam seterusnya membuat rayuan pada Ogos 2021 dan permohonan rayuan beliau tidak diluluskan oleh JDR yang bersidang sebanyak dua kali kerana didapati beliau tidak mengidap keilatan,” katanya.

Tambahnya, selepas penerangan lanjut dibuat kepada Mat Izam dan diterima oleh beliau, Perkeso mengambil pendekatan dengan membantu melalui bantuan lain seperti Program Sinergi Sosial di bawah pengendalian Perkeso dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

“Perkeso juga membekalkan beliau dengan Kotak Prihatin yang mengandungi bahan keperluan dapur seperti teh, milo, susu dan barang kering yang lain.

“Perkeso juga kini sedang menguruskan khidmat pakar terapi fisio bagi beliau dan isteri. Pihak kami juga membantu Mat Izam membuat permohonan bagi pencen ilat dan akan terus memantau keadaan selain menawarkan bantuan khidmat sewajarnya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN