Pelaksanaan projek PIP, CVIA berjalan mengikut perancangan - Utusan Malaysia

Pelaksanaan projek PIP, CVIA berjalan mengikut perancangan

HASNOL Zam Zam Ahmad (duduk, enam dari kanan) bersama Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli (tujuh dari kanan) bergambar bersama sebahagian penjawat awam di negeri ini yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Kompleks SUK, Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pelaksanaan projek pembangunan Terminal Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Projek Pembangunan Lembah Chuping (CVIA) berjalan mengikut perancangan ditetapkan walaupun tidak disebut dalam pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini.

Perkembangan dua projek berkenaan tidak berdepan sebarang masalah memandangkan kerja-kerja pelaksanaannya kini sedang berjalan rancak.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, bagi pelaksanaan projek PIP, kompenan-kompenan pembangunan melibatkan bonded road dan jajaran keretapi (spur line) telah dimulakan oleh pihak kontraktor yang dilantik.

“Kalau ikut perancangan, pelaksanaan projek PIP bagi fasa pertama mungkin akan disiapkan dalam tahun 2025 atau 2026 depan,” katanya selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis di Dewan Bankuet Kompleks SUK Perlis di sini hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 130 pegawai dan kakitangan agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri menerima penganugerahan itu atas komitmen mereka dalam melaksanakan perkhidmatan masing-masing.

Mengulas mengenai pelaksanaan projek CVIA, Hasnol berkata, kerja-kerja infrastruktur dilaporkan hampir selesai dan telah menarik minat beberapa pelabur untuk membeli serta menyewa lot-lot yang disediakan.

“Kerajaan negeri juga sedang mengadakan rundingan bagi memperhalusi isu-isu teknikal dan perkara berkaitan kewangan antara Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bersama pelabur berminat.

“Dari segi peruntukan itu tiada masalah memandangkan sebahagian menggunakan peruntukan kerajaan negeri dan sebahagian lagi adalah peruntukan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ujarnya, kerajaan negeri juga sentiasa mengadakan mesyuarat pada setiap bulan bagi menilai prestasi dan kemajuan projek-projek berkenaan dalam memastikan pelaksanaannya mengikut jadual ditetapkan.

“Di samping itu, pelaksanaan projek Jeti Bersepadu Sanglang yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  dalam Belanjawan 2023 juga adalah merupakan satu komitmen ditunjukkan kerajaan Persekutuan bagi menyokong pembangunannya selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai majlis berkenaan, Hasnol berkata,pentadbiran kerajaan negeri berharap pemberian anugerah itu dapat menjadi motivasi dan pembakar semangat buat penjawat awam lain untuk terus berdaya bersaing.

“Kerajaan negeri juga berharap agar penjawat awam di Perlis dapat mengurangkan pembaziran dan ketirisan bagi setiap wang yang dibelanjakan sama ada dalam bentuk pengurusan organisasi mahu pun mana-mana projek,” katanya..-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya