Pelabuhan Sanglang bakal beri impak perkembangan ekonomi Perlis - Utusan Malaysia

Pelabuhan Sanglang bakal beri impak perkembangan ekonomi Perlis

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Projek pembangunan Pelabuhan Sanglang bagi mengendalikan kargo petroleum dan pukal bakal memberi impak besar kepada Perlis selain memberi nilai tambah kepada perkembangan ekonomi di negeri ini.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri menyambut baik perkembangan tersebut yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pelabuhan tersebut antara projek berimpak tinggi yang turut bakal memberi manfaat kepada rakyat khususnya daripada segi peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri juga menyambut baik pengumuman dalam belanjawan berkenaan berhubung usaha membina struktur baharu hakisan pantai melibatkan Kuala Sanglang – Kuala Jerlun, Kubang Pasu, Kedah.

“Alhamdulillah, ia adalah satu projek yang baik bagi menyokong ekosistem persisir pantai daripada hakisan. Kita juga pohon agar projek ini dilaksanakan segera. Projek ini bukan sahaja menyokong pembangunan Pelabuhan Sanglang atau Sanglang Integrated Jetty (SIJ) tetapi juga akan melindungi kawasan persisir pantai.

“Sokongan dan peruntukan berterusan daripada Kerajaan Pusat perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dan hubungan baik juga perlu dijaga.

“Malaysia adalah negara untuk semua dan tidak perlu ada negeri yang tertinggal. Pembangunan yang menyeluruh adalah sangat penting bagi mengurangkan migrasi penduduk. Rakyat di setiap genap pelosok negara wajar dapat merasai nikmat pembangunan,” katanya di sini hari ini.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2023 turut menyentuh mengenai projek pembangunan Pelabuhan Sanglang bagi mengendalikan kargo petroleum dan pukal sekali gus memberi perkhabaran gembira buat rakyat di negeri ini.

Selain itu, Perdana Menteri juga mengumumkan pembinaan struktur baharu hakisan pantai melibatkan Kuala Sanglang – Kuala Jerlun, Kubang Pasu, Kedah.

Sebelum ini, Anwar semasa melakukan lawatan kerja di Perlis memberi jaminan tidak akan meminggirkan Perlis dan bakal memberi lebih tumpuan kepada kerajaan negeri khususnya dalam aspek mengukuhkan ekonomi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya