KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli kelihatan tenang di sebalik penahanan reman anaknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Ketika ditemui di pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, Mohd. Shukri berkata, pihaknya sedia maklum berhubung penahanan anaknya itu oleh SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurut Mohd. Shukri, pihaknya juga menyerahkan siasatan kes berkenaan atas budi bicara SPRM.
“Saya dah maklum berita daripada SPRM dan saya serah pada budi bicara mereka,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Kangar membenarkan permohonan reman anak kepada Menteri Besar Perlis selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu.
Turut direman bagi membantu siasatan adalah seorang pegawai kanan kerajaan bersama empat individu lain.
Menurut sumber, keenam-enam suspek terlibat yang berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan antara pukul 7 hingga 8 pagi semalam sekitar Perlis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Katanya, siasatan berkenaan dilakukan atas kesalahan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.
“Jumlah anggaran keseluruhan projek berkenaan adalah bernilai RM600,000 bermula dari tahun 2022 sehingga kini melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan,” katanya. –UTUSAN
MOHD. SHUKRI RAMLI









