PETALING JAYA: Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) akan menumpukan pencarian terhadap mangsa-mangsa gempa bumi yang kebarangkalian masih hidup namun terperangkap dalam runtuhan bangunan di Nurdagi, Gaziatep, Turkiye.
Memberitahu Mingguan Malaysia, Ketua Pasukan MAS-10, Abdul Manaf Che Isa berkata, keadaan itu bagaimanapun bergantung kepada tempoh survival mangsa-mangsa berkenaan memandangkan sudah lama terperangkap.
Selain itu, katanya, mangsa juga berdepan cuaca sejuk melampau dengan bacaan kosong hingga tiga darjah Celcius pada waktu siang dan boleh menurun hingga -6 darjah Celcius pada waktu malam.

Kata beliau, kaedah ‘cutting dan breaking’ dengan bantuan peralatan khas digunakan bagi mengeluarkan mangsa sepanjang operasi SAR dijalankan.
“Kita juga telah gerakkan dua ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Denti dan Frankie untuk terlibat sama dalam mengesan kedudukan mangsa di bawah runtuhan bangunan.
“Setakat ini, keadaan kedua-dua ekor anjing itu masih bersemangat dan berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Untuk rekod, MAS-10 yang disertai anggota Smart, JBPM serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) sudah memasuki ground zero dengan membuat peninjauan bersama Pihak Berkuasa
Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Tempatan (LEMA) di beberapa lokasi dikenal pasti di sekitar Nurdagi.
Kata Abdul Manaf, pergerakan di kawasan ground zero agak terhad sekali gus menyukarkan operasi SAR.
Namun, jelas beliau, dengan kepakaran yang ada, dijangka menemukan lebih ramai lagi mangsa yang terperangkap memandangkan sektor SAR adan lokasi kediaman dan penempatan awam seperti rumah, hotel dan bangunan tinggi.
“Sehingga pukul 5 petang semalam (waktu Malaysia), kedua-dua pasukan SMART telah mengeluarkan lebih 20 mangsa yang terkorban di bawah runtuhan.
“Kesemua mereka ditemukan dalam keadaan meninggal dunia namun usaha membawa mereka keluar dilakukan sebaiknya,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, SAR akan digerakkan sepenuhnya pada waktu siang namun operasi dihentikan lewat malam kerana mengambil kira tahap kesihatan serta keselamatan anggota petugas.
“Kita juga ada mendapat bantuan daripada pihak berkuasa di negara itu bagi mengatur selia pelbagai bantuan logistik bagi mengaktifkan pusat kawalan dan operasi SAR di situ.
“Kami telah dibekalkan bahan-bahan mentah, petrol dan bekalan elektrik oleh pihak berkuasa tempatan di negara itu bagi memastikan SAR dapat digerakkan dengan lancar,” katanya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, cuaca sejuk sehingga mencecah -2 darjah Celcius antara cabaran dihadapi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) atau MAS 0-1 di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye.
Komander SMART, Mohd. Khairul Jamil berkata, pasukannya menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) dalam cuaca sejuk antara -1 hingga -2 darjah Celcius pada hari pertama operasi.
Malah, sistem komunikasi (Internet) di ‘ground zero’ juga agak lemah dan terbatas namun situasi itu tidak mematahkan semangat pasukan dalam misi ini.
Kejadian gempa bumi melanda tenggara Turkiye pada 4.17 pagi waktu tempatan, diikuti dua gempa susulan yang melanda wilayah Gaziantep.
Selain Turkiye, negara jiran Syria dan Lubnan turut terjejas. Bencana itu setakat ini dilaporkan meragut lebih ribuan nyawa di Turkiye dan Syria.
Laporan terkini jumlah kematian di Turkiye dan Syria meningkat kepada lebih 23,700 orang. – UTUSAN










