Parti KDM buat pusingan-U kembali sokong Hajiji - Utusan Malaysia

Parti KDM buat pusingan-U kembali sokong Hajiji

PETER Anthony (duduk dua kanan) bersama pimpinan tertinggi parti KDM semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) membuat pusingan-U untuk kembali menyokong Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

Semasa berlaku kemelut politik pada Januari lalu, pemimpin-pemimpin KDM dilihat menyokong Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengetuai Langkah Kinabalu.

Namun, tindakan menggulingkan kerajaan pimpinan Hajiji itu gagal susulan kekurangan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Presiden Parti KDM, Datuk Peter Anthony berkata, rentetan kemelut politik yang berlaku pada awal tahun ini, beliau bersama pimpinan tertinggi KDM memutuskan untuk memberi sokongan penuh kepada Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah.

“Di peringkat KDM, tidak ada sebarang syarat untuk kita memberi sokongan kerana bagi kami, apa yang penting adalah usaha kita untuk sama-sama membangunkan negeri ini.

“Sudah tiba masa untuk kita membantu rakyat atau pengundi-pengundi kita di kawasan seperti di Melalap, Limbahau serta Bandau. Kami juga berharap sokongan atau pengumuman kami pada hari ini akan membolehkan kedudukan dan keadaan politik di Sabah kembali reda.

“Begitu juga kedudukan politik di peringkat Persekutuan. Sebenarnya, kita telah diminta tidak membuat kenyataan tetapi, kita mengambil keputusan untuk membuat pencerahan demi kebaikan negeri Sabah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, kemelut politik yang berlaku menjadi pengajaran buat parti tersebut maka, mereka mahu kembali memberi fokus untuk pembangunan Sabah.

Mengulas lanjut Peter berkata, beliau akur dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan seiring dengan saranan Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, di peringkat parti sudah tiba masa untuk semua pihak melakukan gencatan politik untuk memastikan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat kembali diutamakan.

Kemelut politik di negeri ini bermula pada 6 Januari lalu susulan tindakan sebahagian ADUN UMNO Sabah menarik sokongan daripada Hajiji.

Tindakan itu telah membawa kepada rombakan Kabinet Negeri pada 11 Januari lalu yang menyaksikan ADUN UMNO yang tidak sehaluan dengan Ketua Menteri termasuk Bung Moktar digugurkan daripada senarai anggota Kabinet. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.