KUALA LUMPUR: Berkongsi pengalaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berada di Turkiye baru-baru ini, beliau menjelaskan Presidennya, Recep Tayyip Erdogan telah menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan Parlimen Malaysia atas bantuan yang diberikan.
Menurutnya, kekuatan pasukan mencari dan penyelamat (SAR) Malaysia boleh dibanggakan dan kesemuanya telah menunjukkan pengorbanan dan keupayaan yang ternyata luar biasa dalam operasi mencari mangsa yang tertimbus akibat gempa bumi yang berlaku sehingga meragut ribuan nyawa.
“Maklum balas daripada kepemimpinan Turkiye dan pemerhatian saya semasa lawatan berkenaan, kita boleh berbangga dengan kesungguhan, kecekapan dan tahap profesionalisme yang tinggi sewaktu pengoperasian SAR mangsa gempa bumi di kawasan tersebut. Mereka telah menunjukkan pengorbanan dan keupayaan yang ternyata luar biasa.
“Secara peribadi, saya menganggap seluruh mereka yang terlibat dalam misi khas mencari dan menyelamat ini sebagai mereka yang amat cekal dan berani. Kecekalan mereka untuk berkhidmat di kawasan pusat-gempa (epicentre); berhadapan dengan cuaca yang ekstrem dan situasi yang amat berbahaya kerana struktur bangunan yang tidak stabil berikutan gempa susulan yang masih berlaku merupakan pengorbanan yang luar biasa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penerangan Menteri-Menteri Di Bawah Peraturan 14 (1)(I) Pada 16 Februari 2023 Berhubung Lawatan Ke Turkiye.
SAR Malaysia terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (SMART, NADMA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kor Kesihatan DiRaja Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Antara NGO-NGO yang terlibat dibawah misi ini ialah MERCY Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
Setakat ini, kekuatan pasukan Malaysia yang berada di Ground Zero di bawah SMART adalah seramai 140 anggota manakala yang berada di Hospital Medan di Adiyaman adalah seramai 110 anggota.
Perdana Menteri dalam masa yang sama turut memaklumkan angka terkorban terkini setakat 16 Februari 2023 adalah sebanyak 41,232, dengan melibatkan jumlah korban di Turkiye seramai 35,418 dan di Syria seramai 5,814.
“Saya mencadang agar memberi pingat, elaun khas kepada petugas SMART yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
“Pihak kerajaan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan berkaitan berdasarkan kepada solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia dalam membantu mereka yang terjejas di Turkiye. Ia melibatkan Kementerian Luar Negeri (KLN), NADMA, JBPM, ATM, KKM, PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan agensi-agensi lain yang terlibat.
“Ucapan penghargaan dan terima kasih juga ingin saya sampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan, individu dan semua pihak yang telah memberi sumbangan dalam apa jua bentuk sekalipun,” katanya.
Jelas Anwar lagi, bagi Op Syria, kerajaan telah menghantar Pasukan Peninjau yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala, KLN) delegasi seramai 21 orang yang terdiri dari pelbagai agensi dan NGO.
“Dua buah pesawat ATM akan dihantar ke Syria bagi misi bantuan ini yang akan berlepas pada Sabtu ini pukul 10 malam. Penerbangan ini dijangka tiba di Damsyik pada Ahad pukul 10 pagi (waktu tempatan),” katanya. – UTUSAN











