Parlimen: Kerajaan perlu hentikan amalan nepotisme - Wan Saiful 

Parlimen: Kerajaan perlu hentikan amalan nepotisme – Wan Saiful 

WAN Saiful Wan Jan bercakap kepada pemberita di Bangunan Parlimen di sini hari ini. - FOTO/MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangkang mendesak kerajaan supaya menghentikan amalan nepotisme dan kronisme dengan melantik individu yang mempunyai hubungan keluarga ke dalam jawatan kerajaan. 

Ahli Parlimen Tasek Gelugor (Bersatu), Datuk Saiful Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan sebelum ini jelas membuktikan kerajaan sedang mengamalkan nepotisme.

Katanya, pelantikan Nurul Izzah Anwar adalah bertentangan dengan prinsip yang diperjuang selama ini iaitu menentang kronisme dan nepotisme, malah Perdana Menteri sanggup ‘tidur sebantal’ dengan Barisan Nasional (BN) terutama UMNO. 

“Kami mengingatkan kepada Perdana Menteri agar bertindak segera dan jangan melihat negara ditadbir dengan amalan nepotisme dan kronisme apatalah lagi anak sendiri di dalam jawatan penting kerajaan. 

“Ini bukan soal layak atau tidak atau emolumen (gaji) tidak diberi, tetapi ini soal risiko wujudnya konflik kepentingan di dalam urus tadbir kerajaan. Sebagai ketua sekretariat, sudah pasti (Nurul Izzah) ada kemudahan dan akses kepada kerja-kerja yang dijalankan oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini. 

Kelmarin, Nurul Izzah yang tewas di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengesahkan tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri. 

Nurul Izzah kini dilaporkan menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan setelah menerima jemputan daripada pengerusi Tan Sri Hassan Marican untuk mengetuai sekretariat itu secara bersama.

Jawatankuasa itu akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

Selain itu, jawatankuasa berkenaan berperanan menasihati Menteri Kewangan mengenai perkara berkaitan subsidi, menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada dan penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik.

Jawatankuasa itu juga membabitkan perkara berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk menentukan kaitannya dalam konteks semasa dan menyatukan yang mana sesuai dan perkara berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.

Bagaimanapun, pembangkang tetap tidak berpuas hati dengan pelantikan terbaharu Nurul Izzah.

Mengulas lanjut, Wan Saiful juga Ketua Penerangan Bersatu berkata, tindakan kerajaan amat memalukan negara kerana negara-negara luar di bawah bawah garis kemiskinan juga tidak pernah melakukan perkara sama. 

“Kalau dibanding dengan negara-negara luar termasuk Burundi dan Kiribati, realitinya tidak pernah dibuat seperti yang dibuat oleh pemimpin di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN