PUTRAJAYA: Datuk Nik Nasarudin Mohd. Zawawi, 57, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia berkuat kuasa hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, Nik Nasarudin berkelulusan Sarjana Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.
“Beliau telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 32 tahun dengan bermula sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (Guru) yang disandang dari 1990 sebelum dilantik ke Skim Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 16 Disember 1996.
“Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang terutama melibatkan aspek perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan serta pentadbiran dan pembangunan modal insan.
“Nik Nasarudin pernah berkhidmat di Unit Perancang Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, beliau yakin pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki Nik Nasarudin mampu melaksanakan tanggungjawab dengan meneruskan misi Kementerian untuk melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti dalam membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi Malaysia Madani. – UTUSAN