Nahas Genting Highlands: Kehilangan ibu amat dirasai - Utusan Malaysia

Nahas Genting Highlands: Kehilangan ibu amat dirasai

ONG Seow Hooi menunjukkan gambar kenangan bersama ibunya, Chew Chong Beh, 73, yang terlibat dalam nahas di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands ketika sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: “Kelakuan ibu seperti biasa, tiada yang pelik. Namun, kehilangannya amat dirasai kerana ibu merupakan seorang yang mesra dan ceria dalam kalangan keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan,” kata Ong Seow Hooi, 43, anak kedua mangsa nahas van di Genting Highlands, Chew Chong Beh, 73.

Seow Hooi berkata, sebelum kejadian ibunya tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa sebaliknya berkelakuan seperti sedia-kala.

“Semasa hari kejadian, saya ada menghubungi ibu melalui (aplikasi) Wechat dan dia menyatakan mungkin sampai (Pulau Pinang) lewat. Itulah kali terakhir kami berhubung,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediaman mendiang di Taman Jambu, di sini, hari ini.

Seow Hooi menambah, dia mendapat tahu berita duka itu dari seorang jiran terdekat yang juga mempunyai ahli keluarga yang terlibat dalam nahas berkenaan.

“Ibu menyertai rombongan ke Genting Highlands bersama rakan-rakan baiknya. Tidak sangka itu adalah percutian terakhirnya. Memang terduduk selepas mengetahui berita kemalangan tersebut,” katanya.

Dia berkata, semasa hayat ibunya gemar bersiar-siar sambil berbasikal hampir setiap pagi di kawasan sekitar Machang Bubok dan Kampung Bukit Teh, di sini dan disifatkan sebagai orang yang mudah didekati.

“Ibu suka bersiar-siar dengan basikal di kawasan sekitar, suka minum kopi dengan kawan-kawan dan gemar beli nasi lemak dari kenalan Melayu. Sememangnya berita kematiannya amat mengejutkan kami sekeluarga serta rakan-rakan terdekat.

“Malah, ketika melawat ibu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini, saya lihat keadaan ibu banyak kesan calar disebabkan kemalangan tersebut. Memang sedih ketika itu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow turut menziarahi keluarga mendiang di samping menghulurkan sumbangan sebanyak RM2,000.

Seow Hooi menambah, mendiang ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cina Machang Bubok, di sini dalam masa terdekat. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.