Mohd. Azizi kekal Ahli Parlimen Gua Musang

Mohd. Azizi kekal Ahli Parlimen Gua Musang

SEBAHAGIAN peguam yang mewakili respondan, Datuk Mohd. Azizi Abu Naim semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - FOTO/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mohd. Azizi Abu Naim kekal sebagai Ahli Parlimen Gua Musang selepas Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen yang dikemukakan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Roslan Abu Bakar selepas mendapati kesemua tiga alasan yang dikemukakan BN adalah cacat dan tidak matang dalam bantahan awal terbabit.

Ini termasuk tempoh tarikh memfailkan petisyen ini yang didakwa telah melebihi had masa ditetapkan selama 28 hari di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menurut Roslan, alasan kedua adalah lantikan peguam pempetisyen tidak mematuhi undang-undang yang juga ditetapkan di bawah akta yang sama. 

Bagi alasan ketiga, pempetisyen juga tidak mempunyai penjelasan yang kukuh bagi menyokong dakwaan sogokan dan rasuah pilihan raya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

Katanya, dalam fakta itu juga, ia tidak mempunyai butiran rasuah atau sogokan, termasuk tiada maklumat penerima dan tiada fakta lengkap mengenai pemberi rasuah. 

Mahkamah memerintahkan agar pempetisyen Azmi Mahmood selaku wakil kepada calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membayar kos RM25,000 berikutan penolakan tersebut.

Pada PRU15, Mohd Azizi (PN-Pas) menang majoriti tipis 163 dengan memperoleh 21,826 undi menewaskan Tengku Razaleigh yang mendapat 21,663 undi, Asharun Uji (Pakatan Harapan) 4,517 undi dan Samsu Adabi Mamat (Gerakan Tanah Air) 371 undi.             

Dalam prosiding itu, pempetisyen, Azmi Mahmood, diwakili Datuk Abu Bakar Isa Rahmat, Mohamed. Baharuddin Mohamed Ariff dan Norhazira Abu Hayyan manakala respondan Datuk Mohamad Azizi Abu Naim diwakili Wan Rohimi Wan Daud, Nik Bahrum Nik Abdullah, Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mohd. Azmi yang mewakili calon BN Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh atau Ku Li memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di sini, bagi mencabar keputusan PRU-15 bagi Parlimen berkenaan pada 3 Januari lalu.

Dalam petisyen itu, Mohd. Azmi menerusi barisan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Md. Abdullah, Datuk Mohd. Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman menamakan tiga responden iaitu Mohd. Azizi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ab. Fatah dan SPR.

Menurut Mohamed Baharudeen, petisyen berkenaan meminta supaya keputusan PRU15 bagi Parlimen Gua Musang dibatalkan dan menggesa SPR mengadakan pilihan raya kecil bagi Parlimen itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya