SEPANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak meniru model ‘Makkah Route’ dalam usaha mengurangkan isu kesesakan teruk di pintu masuk utama udara negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia antara idea yang difikirkan bagi mengatasi masalah dialami Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Bagaimanapun, kaedah ini pula memerlukan persetujuan antara G-to-G (kerajaan kepada kerajaan) sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini.
Terdahulu, beliau hadir melancarkan kemudahan autogate (pintu automatik) pemeriksaan imigresen untuk rakyat 10 negara berisiko rendah yang melibatkan terminal 1 KLIA hari ini. Warganegara dari Arab Saudi, Amerika Syarikat, Australia, Britain, Brunei, Jerman, Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Singapura menjadi kumpulan perintis fasiliti berkenaan.
Kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 27 peratus pengembara asing yang masuk menerusi KLIA setiap tahun dan dipilih berdasarkan penilaian analisis risiko. Fasiliti autogate itu mulanya diwujudkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk rakyat asing yang memegang pas lawatan sosial jangka panjang sejak 15 November 2022 lalu.
Ia kemudian diperluas kepada warga Singapura bermula 20 Januari lepas dalam usaha mengurangkan kesesakan di dua pintu masuk iaitu di Tambak Johor dan Linkedua.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata KDN bersedia menerima sebarang model untuk memudahkan pengembara asing tidak beratur lama di pusat pemeriksaan.
“Mungkin idea Makkah Route boleh disesuaikan namun ia kena ada perjanjian G-to-G,” katanya merujuk inisiatif oleh kerajaan Arab Saudi untuk jemaah haji Malaysia sejak 2018.
Program pra-pelepasan itu membolehkan jemaah menjalani pemeriksaan awal di KLIA dan tiba di sana, mereka tidak perlu beratur lagi tetapi terus menaiki bas ke tanah suci.
Pada masa sama, Saifuddin Nasution prihatin dengan kesukaran rakyat luar negara yang ada beratur lebih sejam ketika tempoh waktu puncak dan isu itu sedang dipantaunya rapi.
Beliau turut membayangkan selepas ini sistem autogate bakal diperluas kepada banyak negara kurang berisiko kerana ia lebih selamat dan jimat proses pemeriksaan.
“Warga asing itu perlu daftar awal tiga hari menerusi Malaysia Digital Arrival Card sebelum bertolak ke Malaysia dengan ada biometrik dan pengesahan wajah muka,” katanya. – UTUSAN










