KUALA NERUS: Pertambahan populasi melebihi 50,000 orang dengan kedatangan pesakit sehingga 800 orang sehari di kawasan Bukit Tunggal, di sini memerlukan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal baharu disegerakan.
Projek itu dicadangkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK-14) bagi tempoh 2031 hingga 2035, namun situasi semasa menunjukkan keperluan mendesak untuk mempercepat pelaksanaannya berikutan peningkatan mendadak jumlah pesakit.
Seorang penduduk, Noraini Busu berkata, penyegeraan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal Baharu menjadi keperluan mendesak dan kritikal memandangkan klinik kesihatan lama sudah tidak lagi mampu menampung kepadatan penduduk sekitar.
“Infrastruktur sedia ada di klinik kesihatan sedia ada sudah tidak dapat menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat di kawasan sekitar.
“Penduduk sudah tidak boleh menunggu lebih enam tahun lagi untuk pembinaannya demi kepentingan perkhidmatan kesihatan yang lebih optimum dan efisien serta keselesaan pesakit,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Seorang lagi penduduk, Azmi Saifullah berharap Klinik Kesihatan Bukit Tunggal baharu dapat dibina lebih awal berbanding cadangan asal supaya penduduk dapat menikmati capaian dan kualiti perkhidmatan kesihatan lebih baik.
“Mutu perkhidmatan kesihatan untuk rakyat seharusnya menjadi agenda utama dalam sebarang keputusan dan tindakan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Alias Razak berkata, cadangan perolehan tanah bagi projek berkenaan telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan tapak baharu terletak berhampiran Open University di Gong Kijang, di sini.
Menurutnya, kemudahan baharu itu sangat penting bagi memastikan rakyat di Parlimen Kuala Nerus memperoleh perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa, moden dan efisien.
“Saya berharap projek ini diberi keutamaan oleh kerajaan demi kesejahteraan rakyat Kuala Nerus,” katanya. – UTUSAN










