Menteri Luar Australia sekali lagi lawat Malaysia

Menteri Luar Australia sekali lagi lawat Malaysia

Penny Wong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar Australia kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Penny Wong sekali lagi membuat lawatan rasminya ke Malaysia selama dua hari yang bermula  hari ini.

Ini merupakan kunjungan kali kedua tokoh wanita berusia 54 tahun itu selepas pernah mengadakan lawatan julung kali ke negara ini selama tiga hari bermula 28 Jun lalu.

Menurut kenyataan Wisma Putra di sini, jadual kunjungan beliau agak padat dengan sesi kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya.

“Senator Wong juga bertemu Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang menjadi hos perbincangan mengenai pelbagai isu berkepentingan bersama,” katanya.

Mereka berdua bertukar-tukar pandangan berhubung topik ASEAN terutama krisis politik di Myanmar, selain blok ketenteraan Australia, Britain dan Amerika Syarikat (AUKUS).

Kerjasama itu diumumkan pada 15 September 2021 oleh bekas Perdana Menteri Australia, Scott Morrison; Presiden AS, Joe Biden dan mantan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. Wong juga dijadualkan bertemu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan menghadiri banyak program yang diaturkan pihak Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, esok.

Australia adalah rakan rapat dan penting Malaysia malah lawatan kedua beliau kali ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua negara mengukuhkan hubungan kerjasama. Antaranya termasuk untuk dua negara itu meneroka pelbagai peluang di bawah Rakan Kerjasama Komprehensif Strategik (CSP) selain beberapa sektor penting yang berfaedah.

Kata Wisma Putra, ia meliputi bidang pertahanan, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, aspek pencegahan keganasan serta perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara.

Bahkan tahun ini, Australia dijadualkan menjadi hos Mesyuarat Pemimpin Tahunan yang kedua dan Mesyuarat Menteri Luar Tahunan yang kelima di bawah rangka platform CSP. Sepanjang tahun lalu, jumlah perdagangan dua hala antara dua negara ini meningkat dengan ketara sebanyak 55.4 peratus kepada RM88.65 bilion berbanding pada 2021.

Perkembangan positif ini menjadikan Australia sebagai rakan dagang kesepuluh terbesar peringkat global bagi Malaysia daripada kedudukan ke-13 direkodkan tahun sebelum itu. Kedua-dua negara ialah ahli Pertubuhan Bangsa Bersatu, Komanwel Britain, Peraturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) dan Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN