MAIPk beri bantuan segera lelaki buta - Utusan Malaysia

MAIPk beri bantuan segera lelaki buta

KEADAAN Rosli Jumri di rumahnya di Kampung Kunci Air Mati 4, di Teluk Intan. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memberikan bantuan segera kepada seorang lelaki buta yang memerlukan bantuan kos sara hidup yang disiarkan di akhbar ini kelmarin.

Dalam kenyataannya, Bahagian Perhubungan Korporat MAIPk berkata, MAIPk Daerah Teluk Intan amat prihatin dengan masalah yang dihadapi lelaki itu, Rosli Jumri, berusia 50 tahun yang masih bujang dan tinggal seorang diri di rumahnya Parit 12, Kunci Air 4, Chenderong Balai dekat sini.

Menurutnya, semasa lawatan ke rumah lelaki itu, pihak MAIPk menghulurkan sumbangan bantuan kecemasan berjumlah RM300 untuk meringankan beban yang ditanggung oleh Rosli.

“Pihak MAIPk Daerah Teluk Intan juga mencadangkan bantuan kewangan bulanan di bawah asnaf fakir miskin kepada Rosli,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, susulan laporan akhbar ini mengenai Rosli yang menjalani kehidupan tanpa dapat melihat akibat buta, MAIPk Daerah Teluk Intan mengambil pendekatan melakukan kunjungan bagi menyantuni dan mendalami masalah yang dilalui lelaki itu.

Katanya, rumah yang diduduki lelaki itu bercantum dengan rumah ibunya yang tinggal bersebelahan dan di sekitar kawasan rumah itu juga mempunyai rumah adik beradiknya.

“Sebelum ini lelaki itu melakukan pelbagai pekerjaan antaranya berniaga burger, menanam sawit serta melakukan pelbagai pekerjaan kampung sehinggalah dia mengalami penyakit hilang penglihatan sejak tahun 2018.

“Dia tidak menerima bantuan daripada agensi lain termasuk tidak pernah memohon bantuan pada pihak MAIPk,” katanya.

Kelmarin, akhbar ini menyiarkan laporan mengenai kehidupan Rosli yang memerlukan bantuan sara hidup setelah hilang penglihatan beberapa tahun lalu.

Kerana tidak mampu melihat, Rosli tidak dapat bekerja dan kini hanya terbaring di rumahnya dan segala keperluan seharian dilakukan sendiri.

Dia berharap ada pihak yang mempertimbangkan bantuan bulanannya.

Sumbangan boleh dimasukkan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0823 8411 0000 8327 atas nama Rosli Jumri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya