PETALING JAYA: Golongan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengalu-alukan Menu Rahmah yang bakal diperluaskan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas Aidilfitri tetapi menuntut harganya dikurangkan sedikit dalam kampus bersesuaian dengan kemampuan pelajar.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Shahril Haja Mohaideen, 23, berkata, sememangnya ramai mahasiswa akan menerima manfaat sekiranya Menu Rahmah diperkenalkan di IPTA khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Bagaimanapun, katanya, harga siling Menu Rahmah perlu disesuaikan semula dengan pasaran sekiranya kerajaan mahu perkenalkan inisiatif itu kepada mahasiswa di kampus-kampus IPTA.
“Harga Menu Rahmah RM5 itu bagus tetapi mungkin boleh dikurangkan lagi sedikit khas bagi pengusaha-pengusaha makanan atau kafe dalam IPT bersesuaian dengan kemampuan pelajar.
“Menu Siswa Keluarga Malaysia pun RM3.50, jadi kalau Menu Rahmah mula diperkenalkan menggantikan Menu Siswa di IPT, naik hargalah sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pada Julai tahun lalu, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad, memperkenalkan program Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia di IPT dengan menawarkan menu makanan berkualiti berharga RM3.50.
Muhammad Shahril berkata, melalui tinjauan pihaknya di kafe-kafe utama UniSZA, empat daripada lapan kafe masih mengekalkan menu berharga RM3.50 sehingga kini atas budi bicara masing-masing.
“Pada pendapat saya, kalau Menu Rahmah diwujudkan di IPT, harga RM4 sudah memadai iaitu lebih rendah sedikit berbanding harga bagi pengusaha makanan di luar dan kualiti makanannya harus sama atau lebih baik daripada Menu Siswa,” ujarnya.
Pada masa sama, Presiden MPP Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ummi Khalilah Azman, 22, berkata, Menu Rahmah di IPT adalah satu inisiatif yang sangat baik kerana mampu meringankan beban pelajar.
Katanya, bukan semua pelajar berasal daripada keluarga senang dan kadangkala ada yang terpaksa mengikat perut atau terpaksa mengambil makanan yang tidak berkhasiat kerana tidak mampu membeli makanan yang sepatutnya.
“Harga makanan di UIAM secara puratanya bagi satu hidangan antara RM6 hingga RM8 dan mungkin harga ini sudah berpatutan bagi peniaga, tetapi bagi pelajar, harga itu agak membebankan kerana cukup mahal bagi satu hidangan.
“Jadi sebagai wakil pelajar, saya sangat berharap Menu Rahmah ini dapat diperkenalkan di UIAM bagi membantu pelajar mendapatkan keperluan utama iaitu makanan dengan harga rendah,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar Sarjana Muda Perhubungan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Muhd. Ily Faris, 23, berpendapat, pelaksanaan Menu Rahmah di IPT perlu jelas dengan pengkhususan harga dan makanan supaya mahasiswa dan kafe boleh cakna dengan harga dan menu yang kerajaan tawarkan.
“Sebagai contoh, kalau harga RM4 dan RM5, menu apa yang boleh pelajar dapatkan secara spesifik seperti ayam besar apa dan sayur banyak mana supaya tidak ada kafe yang memanfaatkan jenama Menu Rahmah tetapi menyediakan kualiti makanan yang tidak setimpal,” jelasnya.-utusan










