PETALING JAYA : Seorang lelaki maut setelah kereta yang dipandu merempuh pembahagi jalan dalam kejadian di susur keluar Damansara Damai di Jalan Kepong-Sungai Buloh di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.23 tengah malam itu, mangsa berusia 43 tahun itu memandu berseorangan dalam kereta jenis Perodua Alza.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan di lokasi.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang melihat kejadian diharap tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Petaling Jaya Inspektor Mohd Hafeez Faesal di talian 011-32311232,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. –UTUSAN