Lebih AS$2 juta sumbangan Malaysia ke Turkiye dan Syria - Utusan Malaysia

Lebih AS$2 juta sumbangan Malaysia ke Turkiye dan Syria

ANWAR Ibrahim dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia menyalurkan bantuan berjumlah lebih AS$2 juta kepada Turkiye dan Syria berikutan kejadian gempa bumi dahsyat melibatkan kedua-dua negara itu pada Isnin lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak AS$1 juta adalah daripada Kerajaan Malaysia, manakala AS$1 juta lagi adalah sumbangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau berkata, sejumlah RM1 juta lagi adalah sumbangan daripada Majlis Agama Wilayah Persekutuan yang turut bersetuju bersama dalam permulaan penyaluran dana tersebut.

“Bagaimanapun masalah rumit di Syria kerana kekangan penerbangan dan kos terlalu tinggi buat kita, tetapi kita setuju untuk menyalurkan dana Kerajaan Malaysia. Kita juga berharap bantuan daripada rakyat yang turut bersimpati akan disalurkan ke Turkiye dan sebahagian lagi ke Syria.

“Syria berdepan masalah sekatan dan masalah-masalah lain, maka kita salurkan melalui Palang Merah di sana dan Konsul Kehormat Malaysia di Syria sudah dihubungi untuk memastikan penyaluran dana dan perubatan itu disalurkan melalui Palang Merah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Anwar berkata, Kerajaan Malaysia juga akan menghantar seramai 70 lagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang akan diterbangkan ke Turkiye malam ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Beliau berkata, penghantaran kedua kumpulan itu dibuat selepas keberkesanan ditonjolkan pasukan pertama ketika berada di Turkiye.

“Daripada jumlah itu, seramai 20 anggota merupakan kumpulan SMART manakala 20 lagi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 30 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Pasukan pertama itu dilihat sangat berkesan dan pihak Turkiye berasa selesa dan memohon kalau kita dapat tambah, bezanya penerbangan diurus Turkiye sendiri melalui Turkish Airlines bagi mengurangkan beban tanggungan kita,” katanya.

Pada masa sama, Anwar memberitahu, Kementerian Pertahanan sedang menyiapkan pasukan doktor dan paramedik yang boleh bergerak selari dengan pasukan SMART di Turkiye untuk membentuk hospital medan yang boleh digerakkan dalam tempoh 48 jam.

Bagaimanapun katanya, tindakan itu masih tunggu pengesahan adakah ada keperluan di pihak Turkiye. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya