Lapan kereta kena pecah, barang berharga lesap dilarikan - Utusan Malaysia

Lapan kereta kena pecah, barang berharga lesap dilarikan

TANGKAP layar video sebuah daripada kereta yang dipecahkan di kawasan parkir Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta, Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak lapan kenderaan yang diparkir di Empangan Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini dipecahkan penyamun dengan barangan berharga di dalamnya dilarikan dalam kejadian semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 49 tahun yang bekerja sebagai petunjuk arah atau malim gunung.

Katanya, mangsa dan beberapa rakan telah meletakkan kenderaan di lokasi kejadian pada Sabtu lalu untuk menjadi pemandu arah mendaki Gunung Korbu dan Gunung Gayung (Korga) selama tiga hari.

“Selepas selesai mendaki, pengadu pergi ke arah keretanya dan mendapati cermin hadapan sebelah pemandu pecah dan beg yang diletakkan di bawah kerusi pula hilang.

“Anggaran kerugian dialami pengadu lebih kurang RM2,500. Kejadian adalah kali pertama berlaku sepanjang pengadu menjadi pemandu arah gunung kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, selain pengadu, seorang lagi mangsa ialah lelaki berusia 53 tahun di mana kehilangan beberapa barangan termasuk wang tunai RM1,000 dan telefon bimbit.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati, ia jauh dari pondok pengawal dan kereta diletakkan di dalam kawasan semak yang telah dibersihkan untuk meletakkan kereta.

Tambahnya, kawasan tempat kejadian juga jauh dari penempatan penduduk dan tiada kawalan keselamatan di tempat kereta diletakkan.

“Dalam kes ini, terdapat lebih kurang lapan kenderaan dipecahkan cermin dan disyaki dilakukan oleh suspek yang sama.

“Bagaimanapun, sehingga kini hanya dua mangsa iaitu pengadu dan mangsa kedua tampil membuat laporan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Difahamkan, kesemua kereta diletakkan di kawasan itu oleh pendaki yang mahu menjalankan aktiviti pendakian ke Gunung Korbu.

Bagaimanapun, kawasan kejadian bukan merupakan tempat letak kereta yang disediakan untuk tujuan mendaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya