KOTA BHARU: Pelantikan anak Menteri Besar (MB) dan Timbalan Menteri Besar (TMB) sebagai kakitangan awam di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) adalah tidak sama dengan pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
PKINK yang mempertahankan tindakan itu menyifatkan pelantikan anak kedua-dua pimpinan tertinggi negeri itu sebagai kakitangan awam dilakukan mengikut saluran sah berpandukan kepada kelayakan dimiliki.
Malah permohonan jawatan untuk anak kepada Datuk Ahmad Yaakob dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dibuat mengikut prosedur iaitu mengisi borang dan kemudian dipanggil untuk temu duga sebagaimana pencari kerja yang lain.
Anak Menteri Besar iaitu Nor Azma Hilmah Ahmad dilantik sebagai Penolong Pengurus Bahagian Perundangan dan Integriti, manakala anak kepada Timbalan Menteri Besar iaitu Ahmad Muhajid Mohd. Amar pula sebagai Penolong Pengurus Bahagian Korporat.
“Itu yang berbangkit sebenarnya. Anak MB dan TMB ini berbeza sebab PKINK membuka iklan jawatan kosong. Apabila dibuka mereka mohon, isi borang dan dipanggil untuk temu duga.
“Bila lulus temu duga barulah perlantikan dibuat. Lulus temu duga bermakna markah yang diperoleh itu bagus. Jadi, soal perlantikan ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Pelantikan tersebut mencetuskan kritikan khususnya warganet di media sosial yang turut mempersoalkan hal itu.
Warganet beranggapan tindakan itu bercanggah dengan peraturan selepas kedua-dua tokoh berkenaan iaitu Ahmad dan Mohd. Amar menjawat jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKINK sekali gus memberi gambaran wujudnya campur tangan atau ‘kabel’.
Sementara itu, sumber dalam PKINK berkata, kedua-dua tokoh itu sama sekali tidak terlibat semasa proses temu duga dijalankan ke atas anak mereka.
Kata sumber itu, situasi itu berbeza dengan lantikan Nurul Izzah selepas bapanya sendiri yang mengumumkan perkara tersebut.
Kata sumber lagi, semua pihak perlu melihat isu ini lebih mendalam sebelum memberi komen berhubung pelantikan anak kepada pemimpin tinggi di negeri ini. – UTUSAN











