Ladang Kledang Saiong tidak sebabkan hutan botak - Utusan Malaysia

Ladang Kledang Saiong tidak sebabkan hutan botak

SAARANI Mohamad (tiga dari kanan) menyiram pokok yang beliau tanam pada Pelancaran Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 juta Pokok bagi tahun 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di Ipoh hari ini. - UTUSANMUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri sudah menyembah maklum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai cadangan pembangunan ladang hutan seluas 4,280 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiong di Kuala Kangsar selepas beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kebimbangan terhadap kemusnahan hutan disebabkan projek tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau telah menyembah maklum kepada baginda mengenai projek tersebut yang dilaksanakan mengikut peraturan.

Menurutnya, projek ladang hutan itu tidak dilaksanakan sewenang-wenangnya malah mendapat kebenaran daripada menteri yang berkenaan.

“Saya telah menyembah maklum kepada tuanku sultan apabila ada NGO yang menghantar (memorandum memohon Sultan Perak campur tangan) ke istana. Jadi saya sudah sembah maklum kepada baginda projek ini bukan perkara di luar peraturan.

“Perkara ini berlaku sebab ia melalui proses public hearing, jadi orang ramai boleh memberi pandangan balas kepada kerajaan negeri sedangkan projek itu tertakluk kepada EIA (laporan penilaian impak alam sekitar) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Jika JAS kata tak boleh kerana risiko banjir contohnya, kita tak buat, tak kan kita nak buat? tak kan kita nak langgar?.

“NGO ini saya faham sebab itu perasaan dia, tapi dalam masa yang sama NGO kena faham apa prosedur yang kita lalui. Kita cuba sedaya upaya untuk tidak menjadikan projek ladang menyebabkan hutan kita botak atau kita hilang hutan, sebab ini adalah replanting, semua proses kita ambil kira, bukan terus guna bulldozer cuci bersih hutan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada perasmian sistem amaran awal Kepala Air dan kick-off Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 juta Pokok bagi tahun 2023 di Taman Eko Rimba Kledang Saiong di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan peraturan, Perak dibenarkan melaksanakan projek ladang hutan sehingga keluasan 100,000 hektar tapi sudah dikurangkan kepada 32,000 hektar.

Beliau berkata, malah selepas kerajaan Persekutuan umumkan tiada lagi projek ladang hutan, Perak hanya mempunyai baki 6,000 hektar sahaja iaitu yang terakhir diluluskan dengan kebenaran menteri.

“Selain daripada projek ladang hutan di Kledang Saiong itu, sebelum ini sudah ada dibuat, jadi ia bukan perkara di luar jangka atau perkara pelik.

“Kita teruskan sebab projek itu adalah penanaman kembali hutan. Hutan yang telah kosong, iaitu hutan yang telah dibalak sebelum ini atau hutan tua, jika tidak ditanam semula akhirnya ia akan pupus,” katanya.

Sebelum ini, enam NGO menyerahkan memorandum kepada Sultan Perak bagi memohon campur tangan baginda berkaitan projek ladang hutan seluas 4,280 hektar di Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong di Kuala Kangsar.

Penyerahan memorandum itu dibuat ekoran kebimbangan terhadap cadangan pelaksanaan pembangunan ladang hutan di HSK yang diluluskan oleh kerajaan negeri kerana pembangunan ladang monokultur berskala besar itu dilihat akan memusnahkan litupan hutan asal melalui amalan pengusahasilan secara tebang habis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya