Ladang babi dijangkiti ASF di Pulau Pinang kini cecah 30 buah - Utusan Malaysia

Ladang babi dijangkiti ASF di Pulau Pinang kini cecah 30 buah

SAIRA BANU MOHAMED REJAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Bilangan ladang babi komersial di negeri ini yang dikesan positif wabak demam babi Afrika (ASF) terus meningkat kepada sebanyak 30 buah ladang setakat ini.

Daripada jumlah itu, 19 ladang tersebut dikesan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS); enam di Seberang Perai Utara (SPU); tiga di Barat Daya dan dua di Seberang Perai Tengah (SPT) dengan jumlah keseluruhan populasi babi yang terjangkit sebanyak 68,659 ekor.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, bagi mengawal dan mencegah perebakan penyakit ASF, langkah ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang positif atau disyaki terjangkit dalam zon jangkitan dengan berpandukan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) terpaksa diambil.

“Polisi ini diamalkan dengan tujuan menghapuskan virus supaya penternak dapat menternak semula dengan selamat serta bebas dari penyakit ASF seterusnya menjamin bekalan daging babi dalam negara yang mencukupi.

“Pemusnahan babi ini telah dijalankan bermula 5 Januari lalu selepas kes pertama ASF dikesan dengan kadar kematian yang tinggi iaitu mencecah 37 peratus atau kira-kira 60 ekor sehari daripada populasi 1,200 ekor babi di ladang,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, di Pulau Pinang ketika ini, pemusnahan babi dari ladang-ladang dengan kematian yang tinggi sehingga melebihi 30 peratus telah selesai dijalankan dan kadar perebakan penyakit juga dilihat semakin perlahan.

Jelas Dr. Saira Banu, penemuan karkas babi dengan tanda-tanda klinikal seperti penyakit ASF di rumah sembelihan juga telah berkurang atau tiada serta tiada aduan kematian babi yang tinggi di ladang babi.

Katanya, ini secara tidak langsung menunjukkan kaedah ‘stamping out’ yang dijalankan JPVPP sebelum ini memberi kesan yang amat baik.

“Sehingga hari ini (14 Februari), sebanyak 14,385 ekor babi telah dilupuskan daripada 16 buah ladang positif. Ladang yang telah disahkan positif dan selesai proses pelupusan babi di SPS pula adalah sebanyak 14 buah manakala lima lagi ladang di situ masih menunggu proses untuk pelupusan.

“Sementara itu, dua ladang yang disahkan positif di SPT juga telah selesai proses pelupusan manakala enam ladang positif di SPU serta tiga di Barat Daya sedang dalam proses untuk pelupusan,” kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Saira Banu memberitahu, bekalan daging babi di seluruh Pulau Pinang dianggar mencukupi dengan Kadar Sara Diri (SSL) melebihi 100 peratus kerana masih terdapat 94 ladang dengan populasi sekitar 198,586 ekor masih negatif ASF.

“Kesemua ladang ini masih menjalankan penternakan seperti biasa dan dibenarkan menyembelih babi di rumah-rumah sembelih berlesen dengan diperiksa oleh pemeriksa daging dari JPV Pulau Pinang untuk memastikan hanya daging yang bebas ASF dijual di pasaran,” katanya.

Tambah beliau, orang awam dinasihatkan tidak berasa cemas dengan penularan penyakit ASF kerana bukan penyakit zoonotik iaitu berjangkit kepada manusia sebaliknya hanya menjangkiti ternakan babi serta babi hutan.

Namun, beliau berkata, penyakit tersebut sangat cepat merebak dan boleh menyebabkan kematian sehingga 100 peratus dalam tempoh dua hingga 10 hari kepada ternakan babi yang dijangkiti.

“Sehubungan itu, para penternak dan orang awam diingatkan segera melaporkan kematian babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada JPV daerah atau negeri terdekat selain menghubungi talian ‘hotline’ Bilik Pengurusan Krisis Penyakit JPVPP di nombor 04-5041047,” ujarnya.

Tambah beliau, adalah diharapkan para penternak tidak melupuskan babi yang mati sendiri tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya kerana dikhuatiri menyebabkan berlakunya pencemaran virus pada alam sekitar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya