KUALA LUMPUR: Kualiti perkhidmatan air dan pembentungan negara ditingkatkan bagi memastikan akses air bersih untuk semua rakyat.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha itu dibuktikan dengan inisiatif Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) yang menghasilkan biopepejal dan bioefluen, iaitu dua produk utama daripada hasil rawatan kumbahan yang mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan.
“Inisiatif waste-to-wealth yang dilakukan secara holistik ini pastinya dapat menjadikan sisa kumbahan sebagai sumber kekayaan baharu.
“Projek rintis penyelidikan dan pembangunan (R&D) semula bi-produk pembetungan seperti yang dilakukan JPP dan IWK hari ini, mempunyai potensi untuk mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak dua peratus setahun.
“Biarpun peratusannya kelihatan kecil, namun ini adalah satu titik permulaan yang sangat baik. Saya juga ingin melihat penggunaan bi-produk pembetungan seperti ini dapat diperluas dalam menyokong ekonomi kitaran.
“Saya berharap, lebih banyak inovasi sebegini dapat dijalankan kerana ia sangat penting dalam usaha pengurusan air dan sanitasi yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja di loji perintis memproses biopejal kepada baja pelat sebagai baja organik untuk tanaman lanskap dan tanaman bukan makanan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, pemanasan global akibat pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada aktiviti manusia memberi kesan langsung kepada sistem iklim global yang kini berada pada tahap membimbangkan.
“Justeru, fokus utama saya adalah untuk memperkukuh tindakan bagi menangani perubahan iklim melalui pembangunan strategik penting dalam mengurangkan pelepasan karbon negara melalui Pelan Hala Tuju National Determined Contribution (NDC) dan Strategi Pembangunan Pelepasan Karbon Jangka Panjang (LT-LEDS).
“Besarlah harapan saya untuk melihat produk inovasi yang dihasilkan ini memberi nilai tambah kepada sektor air dan pembentungan sekali gus impak yang besar kepada pembangunan negara.
“Apa yang kita lakukan hari ini bukan semata-mata untuk hari esok, malah mampu memberi kesan jangka panjang, mungkin sehingga 100 tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN










