Kuala Sala lubuk candat, jala sotong

Kuala Sala lubuk candat, jala sotong

SOHIR Man menunjukkan sotong yang berjaya dicandatnya di perairan Kuala Sala di Yan, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Pemancing hasil laut di sekitar utara tanah air tidak perlu lagi berhabis masa menempuh perjalanan jauh sehingga ke Terengganu untuk mencandat sotong kerana perairan Kuala Sala, di sini boleh menjadi lubuk untuk mereka melakukan aktiviti itu.

Sejak enam tahun lalu, antara Oktober hingga Mac, perairan tersebut mula menjadi tumpuan pencandat sotong kerana ketika itu sotong jenis cumit, sotong panjang dan sotong mengambang mudah diperoleh.

Bagi nelayan tempatan di Kuala Sala, Kuala Jerlun dan Kuala Kedah, tempoh itu memang masa yang ditunggu-tunggu oleh mereka kerana sotong yang dicandat boleh menambah pendapatan.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Rosni Razak, 50, berkata, walaupun tiga jenis sotong terbabit agak kecil saiznya di perairan itu berbanding di Terengganu, ia tetap digemari pencandat dan nelayan.

“Memang ketara perbezaan saiz sotong terbabit tetapi kepada penggemarnya ia memberi kepuasan dan kepada nelayan ini menjadi pulangan yang berbaloi. Mereka boleh jual sehingga RM30 sekilogram (kg) yang sudah tentu boleh menambah wang saku masing-masing,” katanya.

Kata Rosni, setiap malam tidak kurang 200 buah bot nelayan turun ke laut untuk melakukan aktiviti mencandat sotong di perairan berkenaan.

“Kami tidak perlu pergi hingga ke tengah laut sebaliknya menjadikan kawasan sekitar lima batu nautika dari pantai sebagai lokasi untuk menangkap sotong ini kerana di kawasan sedalam antara lima hingga lapan meter sahaja tiga jenis sotong itu sudah boleh diperoleh,” katanya.

Nelayan Kuala Sala, Sohir Man, 60, berkata, selain menggunakan mata kail jenis kecil sebagai peralatan mencandat, aktiviti menjala juga adalah satu kaedah bagi mendapatkan sotong.

“Lampu hijau dipasang sepanjang masa untuk menarik sotong berhimpun di sekeliling bot sebelum ditukar ke warna merah atau kuning untuk membolehkanmya muncul di permukaan sebelum lampu putih dibuka ketika proses menjala dilakukan,” katanya.

“Setiap malam saya menangkap antara 20 hingga 30 kilogram sotong dan dia lebih banyak menggunakan jala berbanding mencandat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN