Kerja gila guna kontroversi Aliff-Sophia lariskan drama - Osman Ali - Utusan Malaysia

Kerja gila guna kontroversi Aliff-Sophia lariskan drama – Osman Ali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Ku Akad Kau Dengan Bismillah, Osman Ali, berharap penonton akan tetap memberikan sokongan terhadap drama tersebut, meskipun timbul kontroversi melibatkan teraju utama, Sophia Albarakbah dan Aliff Aziz.

Osman berkata, dia khuatir cerita sensasi melibatkan dua pelakon itu menjejaskan minat penonton untuk mengikuti drama yang ditayangkan di TV3 itu.

“Saya harap tontonan tidak terjejas disebabkan cerita kontroversi mereka. Saya bimbang, ada juga yang marah dan menolak untuk menonton drama berkenaan kerana kecewa dengan situasi yang berlaku.

“Setakat ini, saya lega, meskipun ada netizen yang marah dan mengecam pelakon tersebut, jumlah tontonan terhadap posting dan treler di media sosial masih menggalakkan.

“Apapun, saya anggap ini sebagai asam garam industri. Mahu atau tidak, kena terima,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sophia dikecam hebat selepas ceritanya terpaut hati kepada Aliff yang juga suami kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah tular di media sosial.

Perkara itu didedahkan Bella yang mendakwa, Sophie membuat pengakuan tersebut menerusi pesanan WhatsApp, baru-baru ini.

Osman pada masa sama, mengulangi ketegasannya menolak andaian kontroversi tersebut sengaja dicetuskan sebagai sebahagian taktik penerbit dan stesen televisyen untuk melariskan drama berkenaan.

“Ini bukan promosi drama. Ia kerja gila kalau kontroversi itu digunakan untuk melariskan drama kerana secara tidak langsung akan menjejaskan emosi kedua-dua pelakon tersebut.

“Pihak kami khuatir dan telah berbincang dengan TV3 untuk mencari langkah menyelesaikan isu terbabit kerana tidak mahu ia mengganggu proses penggambaran.

“Kalau ada yang tuduh kami menggunakan situasi itu untuk melonjakkan rating tontonan, mereka kejam,” ujarnya.

Osman juga memaklumkan, sebagai pengarah, dia dianggap tidak adil sekiranya melepaskan tanggungjawab dan membiarkan situasi yang berlaku menjejaskan emosi Sophia dan Aliff.

“Saya beri mereka motivasi kerana Aliff dan Sophia tertekan dengan apa yang berlaku. Saya nasihatkan mereka supaya kuat semangat untuk berdepan perkara ini.

“Mereka pelakon profesional, berkelakuan baik dan memberi kerjasama penuh ketika bekerja. Lebih-lebih lagi Sophia. Dia baik, berbudi bahasa dan beradab,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN