Kerajaan Terengganu sedia bertemu penerbit filem Pulau - Utusan Malaysia

Kerajaan Terengganu sedia bertemu penerbit filem Pulau

AHMAD Samsuri Mokhtar (enam dari kiri) bersama sebahagian penerima anugerah sempena Majlis Karnival Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri sedia bertemu dengan penerbit filem Pulau bagi mendengar rayuan dan penjelasan mereka berhubung keputusan Terengganu mengharamkan tayangan filem tersebut di semua pawagam di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka untuk mendengar rayuan tersebut kerana  berpandangan semua pihak perlu diberi ruang untuk membuat rayuan.

“Tidak hanya terhad dalam filem Pulau ini sahaja, sebaliknya mana-mana pihak yang ingin membuat rayuan dalam apa juga perkara, maka mereka perlu diberi ruang dan peluang.

“Jadi, kita tunggulah apa bentuk rayuan atau apa justifikasi yang penerbit filem itu berikan dan kita akan beri ruang untuk menilai hujah-hujah yang akan dikemukakan oleh mereka.

“Setakat ini, kita belum ada perubahan (masih mengharamkan filem tersebut) berdasarkan kepada ‘trailer’ yang ada. 

“Penerbit itu menegaskan bahawa ‘trailer’ tersebut bukanlah sepenuhnya sebagaimana (dipaparkan) dalam filem itu dan ia adalah di luar daripada pengetahuan kita. Tapi kalau dia nak rayu, itu hak dia untuk merayu, kita sedia terima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk di sini, hari ini.

Semalam, penerbit filem Pulau, Fred Chong dilaporkan berkata, pihaknya sedia bertemu pimpinan kerajaan negeri Terengganu dan telah menyiapkan surat rayuan serta menunggu surat sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk Terengganu meneliti semula keputusan tersebut.

Chong berkata, dia bersedia terbang ke Kuala Terengganu bersama wakil Finas dalam masa terdekat untuk membuat rayuan, sekali gus menayangkan filem Pulau kepada wakil kerajaan negeri agar penilaian boleh dilakukan, sama ada filem itu mempunyai unsur ‘soft porn’ atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri memberitahu, kerajaan negeri mengalu-alukan kedatangan penggiat industri perfileman dan pengiklanan untuk datang membuat penggambaran di Terengganu, namun biarlah menghormati dan mengikut acuan budaya, adat resam dan agama masyarakat setempat.

Ditanya mengenai kecaman sebahagian warganet dengan keputusan Terengganu itu, Ahmad Samsuri menegaskan, kerajaan Terengganu mementingkan soal keberkatan dalam pemerintahan Islam di negeri ini.

“Kita di Terengganu nak kekalkan negeri berada dalam keadaan yang maju dan berkat. Yang penting tugas dan tanggungjawab kerajaan untuk menjaga moral dan segalanya kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya