KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedia berbincang dengan kementerian lain mengenai pelaksanaan program Menu Rahmah yang dikhuatiri tidak mampu bertahan lama.
Ini susulan kegelisahan rakyat terhadap peningkatan harga bahan mentah, menyaksikan program itu dijangka hanya bertahan dalam jangka masa pendek.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, kerajaan juga akan terus berunding dengan peniaga jika ada yang tidak mencapai persetujuan mengenai harga Menu Rahmah tersebut.
“Kerajaan mengambil maklum perkara ini dan akan sentiasa berunding. Kami juga mengakui bahawa semua rakyat dalam keadaan susah, dengan harapan program Menu Rahmah sekurang-kurangnya dapat membantu mereka.
“Dalam menangani isu sara hidup dari aspek makanan ini, kerajaan akan mengisi keperluan itu jika ada peniaga yang merasa tidak mampu lagi untuk meneruskan dengan harga yang dipersetujui sebelum ini.
“Cuma masa sekarang ini, peniaga-peniaga dikatakan masih boleh meneruskan kelangsungan melalui program ini. Jika keadaan berubah, maka kerajaan sedia berunding semula. Itu yang kami persetujui bersama,” katanya ketika dihubungi semalam.
Utusan Malaysia menghubungi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan namun masih belum mendapat maklum balas berhubung perkara itu.
Inisiatif Menu Rahmah diperkenal kerajaan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah (B40) mampu membeli makanan di restoran pada harga RM5 ke bawah.
Akhbar ini melaporkan, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, Menu Rahmah tidak mampu bertahan sekiranya harga bahan mentah terus meningkat disebabkan kos tinggi yang ditanggung peniaga.
Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa harga makanan di bawah program itu akan terus kekal untuk tiga bulan pertama diperkenalkan.
Sementara itu, sumber daripada kementerian pula berkata, kerajaan sedang merancang untuk melaksanakan program subsidi bersasar sebagai ‘gantian’ jika Menu Rahmah tidak lagi bertahan.
Kata sumber, ia mungkin mengambil masa lebih kurang tiga bulan sebelum kerajaan benar-benar bersedia melaksanakan subsidi bersasar.
“Kami sedang berusaha untuk melaksanakan subsidi bersasar. Cuma sekarang, bagaimana untuk memastikan subsidi ini sampai kepada golongan sasar dan tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN










