Kerajaan tak pertimbang syor pecah dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam 

Kerajaan tak pertimbang syor pecah dominasi Melayu dalam perkhidmatan awam 

ANWAR Ibrahim melakukan gimik pelancaran SKSSR dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 sambil diperhatikan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar (empat dari kiri); Pengerusi Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal (tiga dari kiri) serta Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (kiri)  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dominasi kaum Melayu dalam perkhidmatan sektor awam bukan satu permasalahan, justeru kerajaan tidak mempertimbang untuk membuat sebarang perubahan mengenainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,  perkara yang dibangkitkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didominasi kaum Melayu hanyalah pandangan peribadi. 

“Itu pandangan peribadi dia, kalau perlu timbang, kita timbang, tetapi itu pun bukan pandangan DAP. Perkara ini tidak kita bukakan saluran untuk kita pertimbangkan kerana dalam keadaan sekarang, saya tidak fikir itu satu masalah,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Perdana Menteri sebelum ini digesa mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa didominasi oleh orang Melayu dan dasar itu dilaksanakan pada era kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ramasamy sebelum ini berkata, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi bangsa Cina, tidak lagi terpakai.

Ini kerana, dakwanya, hujah berkenaan digunakan Tun Mahathir untuk menginstitusikan hegemoni Melayu dalam sektor awam, khususnya perkhidmatan awam.

Beliau turut mendakwa terdapat diskriminasi kaum secara rahsia apabila ia berkaitan dengan prospek kenaikan pangkat untuk bukan Melayu dalam sektor awam. 

Anwar  berkata, beliau meraikan semua pandangan namun ia tidak semestinya mempengaruhi keputusan kerajaan atau sebaliknya. 

“Kita jangan pula melarang orang bercakap untuk memberi pandangan, boleh. Tetapi ia tidak mempengaruhi keputusan DAP dan tidak mempengaruhi keputusan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN