Kerajaan Perpaduan di landasan betul urus negara - Utusan Malaysia

Kerajaan Perpaduan di landasan betul urus negara

V. SIVAKUMAR (barisan depan, tengah) mendengar taklimat pada lawatan kerja ke Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC) di Ipoh, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberikan masa bagi melaksanakan semua polisi dan dasar-dasar baik yang dirancang.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, harapan rakyat untuk melihat perubahan mendadak dilaksanakan dalam pentadbiran negara bukanlah satu perkara yang mudah.

Namun katanya, buat masa ini, kerajaan berada di landasan yang betul bagi mengurus negara.

“Kalau kita mahu lihat satu perubahan yang mendadak dan serta-merta, itu bukanlah mudah untuk dilihat.

“Apa yang penting, kerajaan perlu diberikan masa yang lebih panjang bagi melaksanakan semua polisi yang telah dirancang, sedang dirancang dan akan dirancang.

“Saya memang faham harapan rakyat terlalu tinggi, tetapi pada masa sama kerajaan juga berada di landasan betul dalam melaksanakan semua polisi dan matlamat,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan kerja rasmi ke Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dapatan kaji selidik mega sempena 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan diketuai Anwar Ibrahim di mana lebih 36,000 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik yang dijalankan selama 10 hari itu.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Sivakumar berkata, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia komited memperkasakan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.

Menurut beliau, hala tuju kerajaan ketika ini terarah dalam memastikan tidak berlaku ketidakpadanan lepasan institut latihan kemahiran yang tidak diterima oleh industri.

“Kita mahu memastikan anak-anak yang dilatih di bawah TVET mempunyai nilai pasaran yang tinggi kerana sering kali dibangkitkan isu ketidakpadanan di mana graduan yang dihasilkan tidak diperlukan industri.

“Keadaan ini akan merugikan sumber dari segi kewangan, masa dan tenaga. Jadi, kita mahu mengelak ketirisan dan kebocoran. Kita membelanjakan wang begitu banyak tetapi sebahagian besar tidak mencapai sasaran atau matlamat.

“Tenaga mahir yang kita lahirkan seharusnya diterima industri, itu adalah penting,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya