Keputusan EIA projek PSI dijangka bulan depan - Utusan Malaysia

Keputusan EIA projek PSI dijangka bulan depan

CHOW Kon Yeow (tengah) pada majlis penyampaian cek bantuan kewangan kerajaan negeri kepada sekolah-sekolah Tamil, tadika dan sekolah punjabi di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Keputusan akhir Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek Penang South Islan (PSI) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dijangka dimuktamadkan bulan depan selepas mesyuarat jawatankuasa teknikal berlangsung.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat jawatankuasa teknikal itu akan membolehkan JAS meneliti semua ulasan teknikal dan melihat pematuhan dari setiap agensi sebelum membuat keputusan mengenai EIA projek tersebut.

”Kita tidak tahu sama ada EIA ini akan diluluskan atau diluluskan dengan syarat yang perlu ditunaikan sebelum, semasa dan selepas pelaksanaan projek PSI,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian cek bantuan kewangan kerajaan negeri kepada sekolah-sekolah Tamil, tadika dan sekolah punjabi di sini hari ini.

Projek PSI atau dahulunya dikenali sebagai projek tambakan laut selatan (PSR) merupakan projek seluas hampir 17 kilometer persegi membabitkan pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut berdekatan Bayan Lepas.

Bagaimanapun, projek PSI itu mendapat bantahan daripada komuniti nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar di negeri ini kerana didakwa akan merosakkan ekosistem laut di perairan berkenaan.

Sebelum ini, pada 8 September 2021, Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memutuskan mengetepikan kelulusan EIA bagi projek tersebut.

Menurut Kon Yeow, proses untuk mendapatkan kelulusan EIA untuk projek PSI daripada JAS mengambil masa yang panjang dan segala penambahbaikan yang diperlukan telah dilaksanakan.

”Selagi agensi teknikal ada syarat untuk dikenakan, selagi itu kita akan tunaikan syarat tersebut, itu prinsip dan sikap kita.

”Ini sebenarnya satu proses yang amat menyeluruh, sehingga kita melihatnya sebagai satu model proses EIA yang amat ketat.

“Saya tidak pasti projek lain atau ada negeri yang melalui proses sedemikian, namun proses EIA yang sedang kita lalui ini boleh dijadikan model untuk pihak-pihak lain untuk mendapatkan kelulusan EIA bagi projek mereka,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang telah mengadakan mesyuarat bersama Barisan Nasional (BN) negeri mengenai soal pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN), Kon Yeow berkata, perkara tersebut masih belum dibincangkan.

”Bincang di kedai kopi adalah, tetapi bukan perbincangan secara rasmi lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya